Tuesday, November 23, 2010

simpulan bahasa ( h - n )

Habis akal
Sudah puas berfikir dan berikhtiar untuk menyelesaikan sesuatu.
Contoh: Encik Shahrul sudah habis akal untuk mengatasi masalah yang dihadapi oleh keluarganya itu.


Habis ikhtiar
Sudah puas berusaha dan mencari jalan untuk mencapai sesuatu.
Contoh: Encik Zahir sudah habis ikhtiar untuk berjaya dalam pemilihan ahli jawatankuasa persatuan itu.


Habis modal
Sudah ketandusan idea.
Contoh: Masing-masing berdiam diri kerana sudah kehabisan modal.


Halwa telinga
Sesuatu yang sedap didengar.
Contoh: "Kata-kata awak itu biarlah menjadi halwa telinga saya," kata Encik Hasim kepada isterinya.


Hampa hati
Berasa kecewa.
Contoh: Betapa hampa hati Aziz apabila mengetahui ayahnya tidak mahu menolong langsaikan hutang keretanya lagi.


Hancur hati
Terlalu sedih dan kecewa.
Contoh: Hancur hati Mak Tipah apabila mengetahui anaknya terlibat dengan najis dadah.


Hangat-hangat tahi ayam
Buat kerja tidak bersungguh-sungguh.
Contoh: Pak Him buat kerja hangat-hangat tahi ayam sahaja.


Hangat hati
Sangat marah.
Contoh: Pak Badol hangat hati apabila melihat tanamannya habis dimakan lembu.


Hangat kuku
Suam-suam / tidak berapa panas.
Contoh: Mak bidan memandikan bayi yang baru lahir itu dengan air hangat kuku.


Hanyut fikiran
Tidak waras lagi.
Contoh: Dia sudah hanyut fikiran semenjak isterinya meninggal dunia.



Hapus ke laut
Perkara buruk tidak perlu ada dalam ingatan.
Contoh: "Ibu janganlah mengukit-ungkit lagi perkara itu lagi kerana hal itu sudah lama saya hapus ke laut," kata Zamri.


Harga diri
Maruah / nama baik.
Contoh: "Sebagai seorang pendidik, kamu hendaklah menjaga harga diri walaupun di mana kamu berada," kata Encik Kamal.


Harga mati
Harga tetap / tidak boleh dikurangkan lagi / tidak boleh ditawar lagi.
Contoh: Senarai harga barang di pasar raya adalah harga mati.


Harga pokok
Harga asal iaitu mengikut harga modal.
Contoh: Saya mengambil untung sedikit sahaja daripada harga pokok.


Harga tetap
Harga mati / harga tidak boleh dikurang lagi / harga tidak boleh ditawarkan lagi.
Contoh: Harga barang itu tidak boleh ditawar lagi kerana sudah harga tetap.


Hari depan
Masa akan datang.
Contoh: Kamu hendaklah mencari pekerjaan yang tetap untuk menjamin hari depan kamu.


Hari kiamat
Hari akhir zaman.
Contoh: Sampai hari kiamat pun kamu tidak berjaya, kalau kamu hanya berpeluk tubuh tanpa berusaha langsung.


Hari muka
Hari hadapan / masa akan datang.
Contoh: Kita tidak dapat menduga apa akan terjadi pada hari muka kita nanti.


Hasil tangan
Hasil daripada usaha / ciptaan.
Contoh: Lukisan dinding di sekolah itu adalah hasil tangan Guru Besar yang lalu.


Hati ayam
Penakut / pengecut.
Contoh: Kalau hati ayam tidak usah masuk tentera, nanti terkencing apabila dengar bunyi peluru.


Hati batu
i. Degil dan sukar untuk mendengar nasihat. ii. Tidak ada belas kasihan.
Contoh: i. Ali seorang budak hati batu kerana segala nasihat orang langsung tidak diterimanya. ii. Dia betul-betul berhati batu kerana sanggup melakukan perbuatan kejam kepada anaknya sendiri.


Hati berbulu
Marah dan bersikap berdengki.
Contoh: Kalau sudah hati berbulu tentulah tidak senang hati kalau orang lain mendapat kejayaan.


Hati berlian
Sangat baik hatinya.
Contoh: Pak Jais mempunyai hati berlian kerana dia memelihara beberapa orang anak yatim piatu.


Hati budi
Sifat / perangai.
Contoh: Kamu berkawan dengannya sudah hampir dua tahun, sudah tentu kamu kenal hati budinya.


Hati busuk
Jahat dan dengki serta berniat serong.
Contoh: Orang hati busuk sudah tentu tiada siapa yang mahu berkawan dengannya.


Hati jernih
Ikhlas / jujur dan baik hati.
Contoh: Seorang pemimpin yang mempunyai hati jernih akan mendapat sanjungan daripada rakyat.


Hati kecil
Perasaan halus yang timbul kesan daripada sesuatu perkara atau tindakan.
Contoh: Walaupun Mak Minah marah akan cucunya itu hati kecilnya tetap sayang akan cucunya.


Hati muda
Rasa lebih muda daripada usia sebenar.
Contoh: Jangan terlalu mengikut hati muda, nanti kita menjadi papa kedana akhirnya.


Hati perut
Bertimbang rasa belas kasihan.
Contoh: Dia memang tidak berhati perut kerana sanggup merampas wang di tangan budak kecil itu.


Hati terbuka
Sedia menerima sesuatu pandangan atau teguran atau cabaran dengan perasaan tenang.
Contoh: Kamal menerima teguran daripada kawannya dengan hati terbuka.


Hati tungau
Pengecut.
Contoh: Memang benarlah dia seorang berhati tungau kerana tunggul kayu disangkanya hantu.


Hati waja
Keras hati atau berani serta kuat semangat.
Contoh: Orang yang berhati waja sahajalah yang sanggup mendaki Gunung Tahan itu.


Hentam kromo
Membuat sesuatu dengan secara melulu tanpa berfikir terlebih dahulu.
Contoh: Suatu kerja tidak akan berhasil kalau dilakukan secara hentam kromo sahaja.


Hidung belang
Lelaki yang suka mengusik perempuan .
Contoh: Pemuda hidung belang itu tersipu-sipu malu apabila dimarahi oleh seorang perempuan.


Hidung putih
Lelaki yang suka mengusik perempuan.
Contoh: "Kita harus berhati-hati jika berjumpa dengan lelaki hidung putih, nanti kita tidak boleh duduk diam dibuatnya," kata Jamilah.


Hidung tinggi
Sombong dan bermegah diri.
Contoh: Pemuda hidung tinggi itu tidak pernah menegur kami.


Hilang akal
i. Tidak sedar akan diri / pengesan. ii. Gila.
Contoh: i. Jamil hilang akal sebentar setelah jatuh dari tangga rumahnya. ii. Sekarang dia sudah hilang akal semenjak kematian kedua-dua orang tuanya .


Hilang harapan
Kecewa atau tidak mempunyai keyakinan diri lagi.
Contoh: Jangan mudah hilang harapan kerana setiap masalah tentu dapat diatasi.


Hilang ingatan
Gila.
Contoh: Dia sering bercakap seorang diri kerana sudah hilang ingatan.


Hilang semangat
Tersentak kerana terperanjat.
Contoh: Mak Piah hilang semangat setelah mendengar berita kemalangan itu.


Hisap darah
Mengambil keuntungan yang melampau .
Contoh: Penjajah British menghisap darah rakyat Malaya dengan mengenakan cukai yang tinggi.


Hitam manis
Kulit seseorang yang berwarna hitam kemerah-merahan.
Contoh: Gadis yang berkulit hitam manis itu ialah anak dara Haji Hassan.


Hitam putih
Perjanjian yang dibuat secara bertulis.
Contoh: Perjanjian Pangkor adalah perjanjian hitam putih antara Sultan Perak dengan British.


Hujung dunia
Sangat jauh.
Contoh: Akmal bercita-cita mahu mengembara sehingga ke hujung dunia.


Hutang budi
Kebaikan, jasa, pertolongan, dan pengorbanan yang diterima daripada seseorang atau sesuatu pihak.
Contoh: Sesetegah budi orang kepada kita kadang-kadang menjadi hutang budi pula.


Hutang darah
Perasaan dendam untuk menuntut bela atas kematian seseorang akibat dibunuh.
Contoh: "Sekarang aku datang untuk menuntut hutang darah," kata Hang Tuah kepada lanun itu.


Hutang lapuk
Hutang sudah lama tidak dibayar.
Contoh: "Sekarang Ali Baba mahu berhutang lagi, sedangkan hutang lapuknya yang bertimbun belum dijelaskan," kata Kasim Baba kepada Mardianah.


Hutang nyawa
Nyawa seseorang diselamatkan oleh orang lain.
Contoh: "Omar sangat terhutang nyawa kepada pemuda itu kerana dialah Omar terselamat daripada mati lemas," kata Siti kepada ayahnya.


Hutang sekeliling pinggang
Terlalu banyak hutang.
Contoh: "Kerja tidak mahu, makan besar, mahu hidup mewah, sekarang hutang kamu sudah keliling pinggang," kata Haji Daing.


Ibu angkat
Wanita dijadikan ibu sendiri.
Contoh: Puan Hasnah inilah yang menjadi ibu angkat saya semasa saya berada di Kelantan.


Ibu kandung
Ibu sendiri, ibu yang melahirkan anak sendiri.
Contoh: "Inilah ibu kandung saya!" Encik Azmin memperkenalkan ibunya kepada kawan-kawannya.


Ibu keladi
i. Orang tua berkelakuan seperti orang muda. ii. Ibu yang beranak banyak
Contoh: i. Perempuan tua itu digelarkan ibu keladi kerana dia masih gemar berpakaian seperti anak muda. ii. Walaupun Mak Gayah digelar ibu keladi tetapi dia bangga kerana dapat melahirkan anak banyak.


Ibu pertiwi
Negara sendiri; negara yang tempat tumpah darah.
Contoh: Walaupun ke pelosok dunia dia pergi, namun hatinya tetap sayang dan ingat kepada ibu pertiwi yang tercinta.


Ikal mayang
Rambut yang berombak-ombak.
Contoh: Rambut Tuan Puteri Saadong panjang hingga paras lutut, hitam berkilat, dan ikal mayang.


Ikat janji
Memeterai / membuat persetujuan.
Contoh: Persatuan Mahasiswa ikat janji dengan Haji Leman untuk memajak tanah bagi melaksanakan projek pertanian kontang.


Ikat perut
Mengurangkan makan kerana susah.
Contoh: Pada musim tengkujuh, kebanyakan kaum nelayan terpaksa ikat perut kerana tidak boleh mencari rezeki.


Ikut angin
Mengikut pendapat orang ramai.
Contoh: Kita mesti ikut angin orang ramai, kalau tidak tentu kita dianggap penentang mereka.


Ikut hati
Mengikut kehendak hati.
Contoh: "Kalau ikut hati aku, budak itu aku humbankan ke dalam laut sana," kata Pak cik Samat dengan perasaan marah.


Ikut jejak
Meniru perbuatan / amalan orang yang terdahulu.
Contoh: Afifi berazam ikut jejak abang dan kakaknya yang berjaya belajar sehingga ke peringkat universiti.


Ikut telunjuk
Akur akan perintah orang.
Contoh: Dia itu selalu ikut telunjuk isterinya dan menyebabkan dia kehilangan kawan.


Iri hati
Dengki / cemburu.
Contoh: Dia iri hati atas kejayaan yang dicapai oleh Ahmad dalam perniagaan.


Isi dada
i. Perasaan yang terkandung dalam hati. ii. Kepandaian atau ilmu yang dimiliki.
Contoh: i. Kamu mesti luahkan isi dada kamu itu kepadanya supaya dia faham akan keadaan sebenar. ii. Kamu mestilah isi dada kamu dengan ilmu sebanyak yang mungkin untuk mengharungi hidup pada zaman ini.


Isi hati
Perasaan / fikiran.
Contoh: Setelah Hilmi memberitahu isi hatinya kepada saya, barulah saya tahu mengapa dia sering termenung sejak akhir-akhir ini.


Isi perut
Perasaan / fikiran.
Contoh: Kami tidak tahu isi perut Nazir kerana dia tidak mahu memberitahu perkara sebenar.


Itik bertaji
Pengecut tetapi bercakap besar.
Contoh: Kamu ini bagai itik bertaji, cakap sahaja besar tetapi kalau nampak musuh kamu sudah masuk ke lubang cacing.


Jadi abu
Rosak/ musnah sama sekali.
Contoh: Permuafakatan mereka sudah menjadi abu setelah berlakunya perselisihan pendapat.


Jadi alat
Berkerja demi kepentingan orang lain tetapi hasilnya tidak dikongsi bersama.
Contoh: Encik Azahar jadi alat kepada tauke Ah Meng dalam perniagaan itu, sedangkan dia tidak mendapat apa-apa habuan.


Jadi kaki
Wakil pihak tertentu atau alat untuk mendapatkan sesuatu peluang.
Contoh: Pemuda yang pergi ke rumah kamu tadi sebenarnya telah jadi kaki Haji Yusoff Tukang Emas pada masa dahulu.


Jadi landasan
Orang dijadikan alat demi kepentingan pihak tertentu.
Contoh: Mogan dijadikan landasan oleh sebuah syarikat kenderaan untuk menarik balik kereta yang gagal menjelaskan bayaran ansuran bulanannya.


Jadi perkakas
Bekerja demi kepentingan orang lain tetapi hasilnya tidak dikongsi bersama.
Contoh: Dia ambil budak itu untuk dijadikan perkakas bagi membuat kerja-kerja dapur rumahnya, bukan dijadikan anak angkat sebagaimana yang dijanjikan.


Jadi sebutan
Selalu diperkatakan tentang kebaikan atau keburukan.
Contoh: Sekarang dia sudah jadi sebutan orang, walaupun beberapa kali dia cuba melindungi perbuatan jahat itu.


Jadi umang-umang
Bergaya dengan pakaian yang dipinjam.
Contoh: Jenal sanggup jadi umang-umang semata-mata kerana ingin bergaya di atas pentas.


Jaga diri
Memelihara tingkah laku dan adab sopan.
Contoh: "Semasa berada di kampung orang hendaklah jaga diri, kalau tidak kamu akan dibenci orang," nasihat ayahnya.


Jaga hati
Memelihara perasaan seseorang.
Contoh: Jikalau kita mahu berkawan lama hendaklah kita jaga hati kawan kita.


Jalan belakang
Tidak mengikut peraturan yang telah ditetapkan atau saluran yang sah dalam sesuatu urusan.
Contoh: Sesuatu perkara atau urusan yang menggunakan jalan belakang adalah dianggap sebgai perbuatan yang tidak bermoral.


Jalan buntu
Gagal mendapat persepakatan dalam sesuatu perbincangan.
Contoh: Perundingan dalam mesyuarat itu menemui jalan buntu kerana tiada kata sepakat.


Jalan dahulu
Meninggal dunia.
Contoh: "Saya ingat saya yang akan mati dahulu kerana luka parah, rupa-rupanya dia jalan dahulu, padahal kami sama-sama diserang hendap oleh pengganas," cerita Sarjan Hassan.


Jalan keluar
Penyelesaian untuk sesuatu masalah.
Contoh: "Kita mesti mencari jalan keluar, jangan biarkan masalah ini berterusan sehingga boleh membawa kemusnahan pula," kata Cikgu Siva.


Jalan mati
i. Jalan yang tidak ada jalan keluar atau tidak boleh diteruskan. ii. Jalan yang tidak digunakan lagi.
Contoh: i. Rumahnya betul-betul terletak di hujung jalan mati. ii. Semenjak lebuh raya dibuka untuk orang ramai, jalan dekat dengan rumah saya menjadi jalan mati kerana tidak ada orang menggunakannya lagi.


Jalan pintas
Jalan terdekat.
Contoh: Pihak Majlis Perbandaran Kota Bharu telah membuat jejambat untuk kemudahan menyeberang jalan tetapi ramai pengguna jalan raya masih menggunakan jalan pintas.


Jalan tengah
Tidak menyebelahi mana-mana pihak.
Contoh: Dalam perkara itu, saya mengambil jalan tengah agar kedua-dua belah pihak berpuas hati.


Jantung hati
Kekasih atau orang yang sangat dikasihi.
Contoh: Ah Ling menjadi jantung hati kedua-dua orang tuanya, lebih-lebih lagi kerana Ah Ling adalah anak tunggal mereka.


Jatuh air muka
Mendapat malu.
Contoh: Jaga diri baik-baik semasa kamu berada di sana, jangan sampai jatuh air muka ibu di sini.


Jatuh hati
Cinta kepada seseorang.
Contoh: Seng Hock jatuh hati kepada Mei Ling tetapi dia berasa malu hendak memberitahu Mei Ling.


Jatuh sakit
Tidak sihat / sering uzur / sakit.
Contoh: Semenjak ibu jatuh sakit, saya tidak bekerja lagi di sana.


Jauh hati
Merajuk.
Contoh: Tidak baik jauh hati dengan ibu kamu.


Jejak-jejak bara
Berkenaan barang yang bergantung / Hampir sampai ke tanah.
Contoh: Kain langsir yang baru dibeli oleh Cikgu Minah nampaknya hanya jejak-jejak bara kerana kain tidak cukup panjang.


Jejak langkah
Mencontohi perbuatan orang terdahulu.
Contoh: Dalam adat-istiadat meminang, cubalah kita ikut jejak langkah orang-orang dahulu agar perundingan berjalan dengan lancar.


Jinak-jinak lalat
Pergaulan yang tidak begitu mesra.
Contoh: Mereka masih lagi jinak-jinak lalat, maklumlah mereka baru sahaja berkenalan.


Jinak-jinak merpati
(Perempuan) nampak mesra tetapi sukar dipikat.
Contoh: Anak gadis Pak Akub itu bagai jinak-jinak merpati.



Jiwa besar
Bercita-cita tinggi dan akan dilaksanakan cita-citanya.
Contoh: Usaha pemimpin-pemimpin yang berjiwa besarlah, maka rakyat negara ini dapat menikmati kemerdekaan yang sejati.


Jiwa hamba
Tidak yakin kepada diri sendiri dan tidak bercita-cita tinggi.
Contoh: Jangan sekali-kali kita berjiwa hamba kerana kita dapat bersama-sama memajukan negara.


Jolok hati
Menguji hati seseorang.
Contoh: Mak Minah menjolok hati anak gadisnya kerana dia ingin tahu adakah anak gadisnya itu sudah mempunyai teman istimewa.


Jolok Mata
i. Sangat jelas kelihatan atau sangat nyata. ii. Memberi malu.
Contoh: i. Gadis-gadis sekarang suka memakai pakaian yang menjolok mata. ii. "Sudahlah makan minum kamu itu aku yang tanggung, kini kamu pula menjolok mata aku pada masyarakat di sini," kata Mak Yam.


Jual diri
Menjadi pelacur.
Contoh: Ramai wanita di negara jiran terpaksa menjual diri di negara ini kerana tekanan kemiskinan di negara mereka.


Jual mahal
Tidak mudah menerima atau menyetujui sesuatu.
Contoh: Dia sengaja bersikap jual mahal kerana dia tidak mahu membantu kita dalam masalah ini.


Jual minyak
Lelaki yang suka memikat perempuan.
Contoh: Jangan mudah percaya pada janji lelaki kerana sesetengah lelaki pandai jual minyak.


Jual murah
Mudah atau lekas menerima atau menyetujui sesuatu.
Contoh: Pak Hamid berasa menyesal kerana dia bersikap mudah jual murah semasa menjual tanah itu.


Kacang hantu
Seseorang yang jahat atau nakal.
Contoh: "Kalau ada budak kacang hantu itu, aku tidak dapat duduk senang dibuatnya," rungut Pak cik Noor.


Kaki ampu
Memuji dengan tidak ikhlas / puji dengan harapan mendapat pembalasan.
Contoh: Encik Adnan seorang kaki ampu itulah sebabnya dia cepat naik pangkat.


Kaki ayam
Tidak beralas kaki.
Contoh: Murid-murid sekolah sebelum merdeka pergi ke sekolah berkaki ayam.


Kaki bangku
Tidak tahu bermain bola.
Contoh: Orang yang kaki bangku layak duduk di tepi padang bola sebagai penonton sahaja.


Kaki bodek
Memuji dengan tidak ikhlas / puji dengan harapan dapat balasan.
Contoh: Orang kaki bodek sering ponteng kerja kerana dia pandai mengampu pegawai atasan.

Kaki botol
Orang yang gemar minum minuman keras / ketagih arak.
Contoh: Kaki botol itu ditahan oleh polis kerana dia memandu motokar dalam keadaan mabuk.


Kaki judi
Suka berjudi
Contoh: Setelah Pak Husin ditangkap oleh polis, barulah kami tahu dia rupa-rupanya kaki judi.


Kaki langit
Bahagian langit yang kelihatan seperti bercantum dengan bumi.
Contoh: Pada waktu senja, keadaan di kaki langit sungguh indah panoramanya.


Kaki lima
Lantai di hadapan bangunan atau kedai di tepi jalan yang dijadikan tempat orang lalu-lalang.
Contoh: Pihak berkuasa tempatan melarang penjaja-penjaja berniaga di kaki lima kerana menghalang laluan orang ramai.


Kambing hitam
Orang yang dipersalahkan dalam sesuatu kejadian.
Contoh: Encik Muthu tidak sanggup menjadi kambing hitam dalam kes bangunan runtuh sebelum siap baru-baru ini.


Kambing keramat
Orang yang ditakuti dan bebas melakukan mengikut kehendak hatinya.
Contoh: Semenjak menjadi pengurus besar dalam syarikat, dia dianggap sebagai kambing keramat kerana sering melakukan apa sahaja mengikut kehendak hatinya.


Karat hati
Menyimpan niat yang tidak baik.
Contoh: Walaupun dia nampak baik tetapi dia adalah karat hati.

 











Kata dua
Amaran terakhir yang mesti diikuti.
Contoh: Orang-orang along memberi kata dua, sama ada bayar atau mati kepada peminjamnya.


Kata hati
Bisikan hati / perasaan yang timbul di dalam hati.
Contoh: Kalau ikut kata hati saya, sekarang juga saya balik ke kampung halaman, tetapi apa boleh buat kerana masa belum mengizinkan lagi.


Kata putus
Keputusan sesuatu rundingan.
Contoh: Mesyuarat itu telah mengambil kata putus bahawa pertubuhan tersebut mesti membuka akaun di mana-mana bank yang teguh.


Kaya hati
Pemurah / dermawan.
Contoh: Kita berharap hartawan yang kaya akan mendermakan wang untuk mendirikan balai raya di daerah ini.


Kecil hati
Kecewa.
Contoh: Atas kesilapan ibu kamu yang sedikit itu, tidak patut kamu berkecil hati.


Kecut hati
Penakut.
Contoh: Kecut hati saya semasa terjumpa tapak harimau itu.


Kecut perut
Penakut.
Contoh: Apabila mendengar anjing menyalak sayu pada tengah malam, saya rasa seram dan kecut perut.


Kena tangan
Kena tempeleng.
Contoh: Pemuda yang cuba meragut beg Cik Zainab itu terus melarikan diri setelah kena tangan oleh orang ramai.


Kepala angin
Berperangai luar biasa / tidak menentu.
Contoh: Kami tidak begitu berani menegur Pak Hadi kerana dia kadang-kadang kepala angin.


Kepala batu
Bersikap degil.
Contoh: "Kamu semua kepala batu kerana tidak mendengar nasihat saya," kata Cikgu Juriah.


Kepala dingin
Tenang dan sabar.
Contoh: Lim Ah Chai adalah jenis kepala kerana dingin apa jua masalah dia menghadapinya dengan tenang sahaja.


Kepala udang
Bodoh / dungu.
Contoh: Walaupun dia berkepala udang, tetapi dengan kesungguhan dan tekun, akhirnya berjaya juga mendapat kecemerlangan dalam peperiksaan.


Kepiting batu
Kedekut / lokek.
Contoh: Orang kaya itu terkenal dengan gelaran kepiting batu kerana dia tidak suka menderma untuk kebajikan.


Keramat hidup
Orang yang berperangai mulia, yakni jujur dan ikhlas.
Contoh: Sungguhpun orang tua itu sudah lanjut usianya, namun dia dianggap keramat hidup kerana dia memiliki akhlak yang mulia.


Kerang busuk
Tersengih-sengih tidak menentu.
Contoh: Dia tersengih-sengih macam kerang busuk kerana berasa malu setelah kakinya terpijak tahi lembu.


Keras hati
i. Cekal / gigih / tidak mudah putus asa. ii. Degil.
Contoh: i. Robert berkeras hati mahu menyertai pertandingan mendaki gunung itu. ii. "Kamu jangan berkeras hati, nanti ayah kamu marah," nasihat Mak Eton kepada anaknya.


Keras hidung
Menurut sesuka hati.
Contoh: Jamilah membuat kerja mengikut keras hidungnya tetapi akhirnya dia terpaksa minta abangnya membantu.


Keras kepala
Degil.
Contoh: Mat Jusuh memang keras kepala kerana segala cakap bapanya langsung tidak dipedulikan.


Keras lidah
Susah hendak menyebut dengan baik.
Contoh: Kalau sudah keras lidah baru hendak belajar bahasa Arab, tentu sebutannya tidak betul lagi.


Keras mulut
Tidak mahu dan tidak mudah kalah dalam pertengkaran.
Contoh: Mereka berdua itu memang sama-sama keras mulut, masing-masing tidak mahu mengaku kesilapan mereka.


Keras tulang
Kuat bekerja
Contoh: Mat Nor memang keras tulang sebab itulah pendapatannya lebih sedikit.


Kera sumbang
Berasa serba salah apabila berada dikhalayak orang ramai.
Contoh: Johan kelihatan macam kera sumbang semasa berada di atas pentas itu.


Kering darah
Tersirap darah kerana terlalu terkejut.
Contoh: "Kering darah saya dibuatnya seekor ular yang hidup dicampakkan kepada saya," kata Jaliah.


Kering hati
Kejam / tiada belas kasihan
Contoh: Orang yang kering hati sahaja sanggup membunuh orang yang tidak berdosa.


Kerja tangan
Kraftangan / kerja-kerja seperti anyaman-menganyam, ukir-mengukir, sulam-menyulam dan sebagainya.
Contoh: Tudung saji itu adalah kerja tangan pelajar tingkatan lima sekolah ini.


Ketam batu
Pelokek / kedekut.
Contoh: Bukan Haji Bakri sahaja yang kedekut, Mak Yam pun jenis ketam batu juga.


Khabar angin
Khabar yang tidak boleh dijadikan panduan / pegangan / dijadikan bukti.
Contoh: Kamu jangan dengar khabar angin, nanti rosak rumah tangga kamu.


Kucing bertanduk
Perkara yang tidak mustahil berlaku.
Contoh: Kalau menunggu sampai kucing bertanduk pun, masa yang sudah berlalu itu tidak akan berulang lagi.


Kucing kurap
Orang yang dipandang hina.
Contoh: "Kalau tidak mempunyai harta dan pelajaran masyarakat akan memandang seperti kucing kurap terhadap kamu," kata ayahnya.


Kuku besi
Pemerintahan yang zalim / kejam.
Contoh: Pemerintah berkuku besi sudah digulingkan oleh rakyat.


Kurang adab
Tidak bersopan / tidak beradab.
Contoh: Jagalah tutur kata kamu dan jangan kurang adab semasa bercakap dengan orang tua.


Kurang ajar
Tidak bersopan / tidak beradab
Contoh: Anak yang kurang ajar tentulah akan memalukan muka kedua-dua orang tuanya.


Kutu embun
Merayau waktu malam dengan tanpa tujuan atau sebab-sebab yang munasabah.
Contoh: Pada pukul dua pagi masih kelihatan kutu embun merayau di jalan.


Kutu jalan
Suka duduk di tepi jalan tanpa tujuan.
Contoh: Ayah tidak mahu dengar lagi orang sebut kamu sebagai kutu jalan, Pak Mat marah kepada anaknya yang suka duduk di tepi jalan.


Lampu hijau
Dapat isyarat kebenaran.
Contoh: Encik Gang Guan Seng telah mendapat lampu hijau daripada ketua syarikatnya untuk membuka perniagaan baru.


Lancang mulut
i. Gemar mengeluarkan kata-kata yang menyakiti orang. ii. Gemar membuka rahsia orang lain.
Contoh: i. Rogayah lancang mulut sebab itulah orang tidak suka berkawan dengannya. ii. Orang yang lancang mulut menyebabkan ramai orang marah kepadanya.


Langkah baik
Permulaan yang baik.
Contoh: Satu langkah yang baik mesti diambil semoga urusan kerja tidak tergendala.


Langkah bendul
Adik perempuan kahwin dahulu daripada kakaknya.
Contoh: Adat orang Melayu, kalau adik mahu kahwin terlebih dahulu daripada kakak, bakal suami terpaksa membawa sedikit barang gantian sebagai bayaran langkah bendul.


Langkah kanan
Bernasib baik.
Contoh: Nampaknya kamu ini langkah kanan malam ini kerana dapat hadiah istimewa.


Langkah kiri
Tidak nasib baik
Contoh: Kamu memang langkah kiri apabila kamu tiba sahaja makanan itu habis dimakan orang.

 

No comments:

Post a Comment