Tuesday, November 23, 2010

simpulan bahasa ( h - n )

Habis akal
Sudah puas berfikir dan berikhtiar untuk menyelesaikan sesuatu.
Contoh: Encik Shahrul sudah habis akal untuk mengatasi masalah yang dihadapi oleh keluarganya itu.


Habis ikhtiar
Sudah puas berusaha dan mencari jalan untuk mencapai sesuatu.
Contoh: Encik Zahir sudah habis ikhtiar untuk berjaya dalam pemilihan ahli jawatankuasa persatuan itu.


Habis modal
Sudah ketandusan idea.
Contoh: Masing-masing berdiam diri kerana sudah kehabisan modal.


Halwa telinga
Sesuatu yang sedap didengar.
Contoh: "Kata-kata awak itu biarlah menjadi halwa telinga saya," kata Encik Hasim kepada isterinya.


Hampa hati
Berasa kecewa.
Contoh: Betapa hampa hati Aziz apabila mengetahui ayahnya tidak mahu menolong langsaikan hutang keretanya lagi.


Hancur hati
Terlalu sedih dan kecewa.
Contoh: Hancur hati Mak Tipah apabila mengetahui anaknya terlibat dengan najis dadah.


Hangat-hangat tahi ayam
Buat kerja tidak bersungguh-sungguh.
Contoh: Pak Him buat kerja hangat-hangat tahi ayam sahaja.


Hangat hati
Sangat marah.
Contoh: Pak Badol hangat hati apabila melihat tanamannya habis dimakan lembu.


Hangat kuku
Suam-suam / tidak berapa panas.
Contoh: Mak bidan memandikan bayi yang baru lahir itu dengan air hangat kuku.


Hanyut fikiran
Tidak waras lagi.
Contoh: Dia sudah hanyut fikiran semenjak isterinya meninggal dunia.



Hapus ke laut
Perkara buruk tidak perlu ada dalam ingatan.
Contoh: "Ibu janganlah mengukit-ungkit lagi perkara itu lagi kerana hal itu sudah lama saya hapus ke laut," kata Zamri.


Harga diri
Maruah / nama baik.
Contoh: "Sebagai seorang pendidik, kamu hendaklah menjaga harga diri walaupun di mana kamu berada," kata Encik Kamal.


Harga mati
Harga tetap / tidak boleh dikurangkan lagi / tidak boleh ditawar lagi.
Contoh: Senarai harga barang di pasar raya adalah harga mati.


Harga pokok
Harga asal iaitu mengikut harga modal.
Contoh: Saya mengambil untung sedikit sahaja daripada harga pokok.


Harga tetap
Harga mati / harga tidak boleh dikurang lagi / harga tidak boleh ditawarkan lagi.
Contoh: Harga barang itu tidak boleh ditawar lagi kerana sudah harga tetap.


Hari depan
Masa akan datang.
Contoh: Kamu hendaklah mencari pekerjaan yang tetap untuk menjamin hari depan kamu.


Hari kiamat
Hari akhir zaman.
Contoh: Sampai hari kiamat pun kamu tidak berjaya, kalau kamu hanya berpeluk tubuh tanpa berusaha langsung.


Hari muka
Hari hadapan / masa akan datang.
Contoh: Kita tidak dapat menduga apa akan terjadi pada hari muka kita nanti.


Hasil tangan
Hasil daripada usaha / ciptaan.
Contoh: Lukisan dinding di sekolah itu adalah hasil tangan Guru Besar yang lalu.


Hati ayam
Penakut / pengecut.
Contoh: Kalau hati ayam tidak usah masuk tentera, nanti terkencing apabila dengar bunyi peluru.


Hati batu
i. Degil dan sukar untuk mendengar nasihat. ii. Tidak ada belas kasihan.
Contoh: i. Ali seorang budak hati batu kerana segala nasihat orang langsung tidak diterimanya. ii. Dia betul-betul berhati batu kerana sanggup melakukan perbuatan kejam kepada anaknya sendiri.


Hati berbulu
Marah dan bersikap berdengki.
Contoh: Kalau sudah hati berbulu tentulah tidak senang hati kalau orang lain mendapat kejayaan.


Hati berlian
Sangat baik hatinya.
Contoh: Pak Jais mempunyai hati berlian kerana dia memelihara beberapa orang anak yatim piatu.


Hati budi
Sifat / perangai.
Contoh: Kamu berkawan dengannya sudah hampir dua tahun, sudah tentu kamu kenal hati budinya.


Hati busuk
Jahat dan dengki serta berniat serong.
Contoh: Orang hati busuk sudah tentu tiada siapa yang mahu berkawan dengannya.


Hati jernih
Ikhlas / jujur dan baik hati.
Contoh: Seorang pemimpin yang mempunyai hati jernih akan mendapat sanjungan daripada rakyat.


Hati kecil
Perasaan halus yang timbul kesan daripada sesuatu perkara atau tindakan.
Contoh: Walaupun Mak Minah marah akan cucunya itu hati kecilnya tetap sayang akan cucunya.


Hati muda
Rasa lebih muda daripada usia sebenar.
Contoh: Jangan terlalu mengikut hati muda, nanti kita menjadi papa kedana akhirnya.


Hati perut
Bertimbang rasa belas kasihan.
Contoh: Dia memang tidak berhati perut kerana sanggup merampas wang di tangan budak kecil itu.


Hati terbuka
Sedia menerima sesuatu pandangan atau teguran atau cabaran dengan perasaan tenang.
Contoh: Kamal menerima teguran daripada kawannya dengan hati terbuka.


Hati tungau
Pengecut.
Contoh: Memang benarlah dia seorang berhati tungau kerana tunggul kayu disangkanya hantu.


Hati waja
Keras hati atau berani serta kuat semangat.
Contoh: Orang yang berhati waja sahajalah yang sanggup mendaki Gunung Tahan itu.


Hentam kromo
Membuat sesuatu dengan secara melulu tanpa berfikir terlebih dahulu.
Contoh: Suatu kerja tidak akan berhasil kalau dilakukan secara hentam kromo sahaja.


Hidung belang
Lelaki yang suka mengusik perempuan .
Contoh: Pemuda hidung belang itu tersipu-sipu malu apabila dimarahi oleh seorang perempuan.


Hidung putih
Lelaki yang suka mengusik perempuan.
Contoh: "Kita harus berhati-hati jika berjumpa dengan lelaki hidung putih, nanti kita tidak boleh duduk diam dibuatnya," kata Jamilah.


Hidung tinggi
Sombong dan bermegah diri.
Contoh: Pemuda hidung tinggi itu tidak pernah menegur kami.


Hilang akal
i. Tidak sedar akan diri / pengesan. ii. Gila.
Contoh: i. Jamil hilang akal sebentar setelah jatuh dari tangga rumahnya. ii. Sekarang dia sudah hilang akal semenjak kematian kedua-dua orang tuanya .


Hilang harapan
Kecewa atau tidak mempunyai keyakinan diri lagi.
Contoh: Jangan mudah hilang harapan kerana setiap masalah tentu dapat diatasi.


Hilang ingatan
Gila.
Contoh: Dia sering bercakap seorang diri kerana sudah hilang ingatan.


Hilang semangat
Tersentak kerana terperanjat.
Contoh: Mak Piah hilang semangat setelah mendengar berita kemalangan itu.


Hisap darah
Mengambil keuntungan yang melampau .
Contoh: Penjajah British menghisap darah rakyat Malaya dengan mengenakan cukai yang tinggi.


Hitam manis
Kulit seseorang yang berwarna hitam kemerah-merahan.
Contoh: Gadis yang berkulit hitam manis itu ialah anak dara Haji Hassan.


Hitam putih
Perjanjian yang dibuat secara bertulis.
Contoh: Perjanjian Pangkor adalah perjanjian hitam putih antara Sultan Perak dengan British.


Hujung dunia
Sangat jauh.
Contoh: Akmal bercita-cita mahu mengembara sehingga ke hujung dunia.


Hutang budi
Kebaikan, jasa, pertolongan, dan pengorbanan yang diterima daripada seseorang atau sesuatu pihak.
Contoh: Sesetegah budi orang kepada kita kadang-kadang menjadi hutang budi pula.


Hutang darah
Perasaan dendam untuk menuntut bela atas kematian seseorang akibat dibunuh.
Contoh: "Sekarang aku datang untuk menuntut hutang darah," kata Hang Tuah kepada lanun itu.


Hutang lapuk
Hutang sudah lama tidak dibayar.
Contoh: "Sekarang Ali Baba mahu berhutang lagi, sedangkan hutang lapuknya yang bertimbun belum dijelaskan," kata Kasim Baba kepada Mardianah.


Hutang nyawa
Nyawa seseorang diselamatkan oleh orang lain.
Contoh: "Omar sangat terhutang nyawa kepada pemuda itu kerana dialah Omar terselamat daripada mati lemas," kata Siti kepada ayahnya.


Hutang sekeliling pinggang
Terlalu banyak hutang.
Contoh: "Kerja tidak mahu, makan besar, mahu hidup mewah, sekarang hutang kamu sudah keliling pinggang," kata Haji Daing.


Ibu angkat
Wanita dijadikan ibu sendiri.
Contoh: Puan Hasnah inilah yang menjadi ibu angkat saya semasa saya berada di Kelantan.


Ibu kandung
Ibu sendiri, ibu yang melahirkan anak sendiri.
Contoh: "Inilah ibu kandung saya!" Encik Azmin memperkenalkan ibunya kepada kawan-kawannya.


Ibu keladi
i. Orang tua berkelakuan seperti orang muda. ii. Ibu yang beranak banyak
Contoh: i. Perempuan tua itu digelarkan ibu keladi kerana dia masih gemar berpakaian seperti anak muda. ii. Walaupun Mak Gayah digelar ibu keladi tetapi dia bangga kerana dapat melahirkan anak banyak.


Ibu pertiwi
Negara sendiri; negara yang tempat tumpah darah.
Contoh: Walaupun ke pelosok dunia dia pergi, namun hatinya tetap sayang dan ingat kepada ibu pertiwi yang tercinta.


Ikal mayang
Rambut yang berombak-ombak.
Contoh: Rambut Tuan Puteri Saadong panjang hingga paras lutut, hitam berkilat, dan ikal mayang.


Ikat janji
Memeterai / membuat persetujuan.
Contoh: Persatuan Mahasiswa ikat janji dengan Haji Leman untuk memajak tanah bagi melaksanakan projek pertanian kontang.


Ikat perut
Mengurangkan makan kerana susah.
Contoh: Pada musim tengkujuh, kebanyakan kaum nelayan terpaksa ikat perut kerana tidak boleh mencari rezeki.


Ikut angin
Mengikut pendapat orang ramai.
Contoh: Kita mesti ikut angin orang ramai, kalau tidak tentu kita dianggap penentang mereka.


Ikut hati
Mengikut kehendak hati.
Contoh: "Kalau ikut hati aku, budak itu aku humbankan ke dalam laut sana," kata Pak cik Samat dengan perasaan marah.


Ikut jejak
Meniru perbuatan / amalan orang yang terdahulu.
Contoh: Afifi berazam ikut jejak abang dan kakaknya yang berjaya belajar sehingga ke peringkat universiti.


Ikut telunjuk
Akur akan perintah orang.
Contoh: Dia itu selalu ikut telunjuk isterinya dan menyebabkan dia kehilangan kawan.


Iri hati
Dengki / cemburu.
Contoh: Dia iri hati atas kejayaan yang dicapai oleh Ahmad dalam perniagaan.


Isi dada
i. Perasaan yang terkandung dalam hati. ii. Kepandaian atau ilmu yang dimiliki.
Contoh: i. Kamu mesti luahkan isi dada kamu itu kepadanya supaya dia faham akan keadaan sebenar. ii. Kamu mestilah isi dada kamu dengan ilmu sebanyak yang mungkin untuk mengharungi hidup pada zaman ini.


Isi hati
Perasaan / fikiran.
Contoh: Setelah Hilmi memberitahu isi hatinya kepada saya, barulah saya tahu mengapa dia sering termenung sejak akhir-akhir ini.


Isi perut
Perasaan / fikiran.
Contoh: Kami tidak tahu isi perut Nazir kerana dia tidak mahu memberitahu perkara sebenar.


Itik bertaji
Pengecut tetapi bercakap besar.
Contoh: Kamu ini bagai itik bertaji, cakap sahaja besar tetapi kalau nampak musuh kamu sudah masuk ke lubang cacing.


Jadi abu
Rosak/ musnah sama sekali.
Contoh: Permuafakatan mereka sudah menjadi abu setelah berlakunya perselisihan pendapat.


Jadi alat
Berkerja demi kepentingan orang lain tetapi hasilnya tidak dikongsi bersama.
Contoh: Encik Azahar jadi alat kepada tauke Ah Meng dalam perniagaan itu, sedangkan dia tidak mendapat apa-apa habuan.


Jadi kaki
Wakil pihak tertentu atau alat untuk mendapatkan sesuatu peluang.
Contoh: Pemuda yang pergi ke rumah kamu tadi sebenarnya telah jadi kaki Haji Yusoff Tukang Emas pada masa dahulu.


Jadi landasan
Orang dijadikan alat demi kepentingan pihak tertentu.
Contoh: Mogan dijadikan landasan oleh sebuah syarikat kenderaan untuk menarik balik kereta yang gagal menjelaskan bayaran ansuran bulanannya.


Jadi perkakas
Bekerja demi kepentingan orang lain tetapi hasilnya tidak dikongsi bersama.
Contoh: Dia ambil budak itu untuk dijadikan perkakas bagi membuat kerja-kerja dapur rumahnya, bukan dijadikan anak angkat sebagaimana yang dijanjikan.


Jadi sebutan
Selalu diperkatakan tentang kebaikan atau keburukan.
Contoh: Sekarang dia sudah jadi sebutan orang, walaupun beberapa kali dia cuba melindungi perbuatan jahat itu.


Jadi umang-umang
Bergaya dengan pakaian yang dipinjam.
Contoh: Jenal sanggup jadi umang-umang semata-mata kerana ingin bergaya di atas pentas.


Jaga diri
Memelihara tingkah laku dan adab sopan.
Contoh: "Semasa berada di kampung orang hendaklah jaga diri, kalau tidak kamu akan dibenci orang," nasihat ayahnya.


Jaga hati
Memelihara perasaan seseorang.
Contoh: Jikalau kita mahu berkawan lama hendaklah kita jaga hati kawan kita.


Jalan belakang
Tidak mengikut peraturan yang telah ditetapkan atau saluran yang sah dalam sesuatu urusan.
Contoh: Sesuatu perkara atau urusan yang menggunakan jalan belakang adalah dianggap sebgai perbuatan yang tidak bermoral.


Jalan buntu
Gagal mendapat persepakatan dalam sesuatu perbincangan.
Contoh: Perundingan dalam mesyuarat itu menemui jalan buntu kerana tiada kata sepakat.


Jalan dahulu
Meninggal dunia.
Contoh: "Saya ingat saya yang akan mati dahulu kerana luka parah, rupa-rupanya dia jalan dahulu, padahal kami sama-sama diserang hendap oleh pengganas," cerita Sarjan Hassan.


Jalan keluar
Penyelesaian untuk sesuatu masalah.
Contoh: "Kita mesti mencari jalan keluar, jangan biarkan masalah ini berterusan sehingga boleh membawa kemusnahan pula," kata Cikgu Siva.


Jalan mati
i. Jalan yang tidak ada jalan keluar atau tidak boleh diteruskan. ii. Jalan yang tidak digunakan lagi.
Contoh: i. Rumahnya betul-betul terletak di hujung jalan mati. ii. Semenjak lebuh raya dibuka untuk orang ramai, jalan dekat dengan rumah saya menjadi jalan mati kerana tidak ada orang menggunakannya lagi.


Jalan pintas
Jalan terdekat.
Contoh: Pihak Majlis Perbandaran Kota Bharu telah membuat jejambat untuk kemudahan menyeberang jalan tetapi ramai pengguna jalan raya masih menggunakan jalan pintas.


Jalan tengah
Tidak menyebelahi mana-mana pihak.
Contoh: Dalam perkara itu, saya mengambil jalan tengah agar kedua-dua belah pihak berpuas hati.


Jantung hati
Kekasih atau orang yang sangat dikasihi.
Contoh: Ah Ling menjadi jantung hati kedua-dua orang tuanya, lebih-lebih lagi kerana Ah Ling adalah anak tunggal mereka.


Jatuh air muka
Mendapat malu.
Contoh: Jaga diri baik-baik semasa kamu berada di sana, jangan sampai jatuh air muka ibu di sini.


Jatuh hati
Cinta kepada seseorang.
Contoh: Seng Hock jatuh hati kepada Mei Ling tetapi dia berasa malu hendak memberitahu Mei Ling.


Jatuh sakit
Tidak sihat / sering uzur / sakit.
Contoh: Semenjak ibu jatuh sakit, saya tidak bekerja lagi di sana.


Jauh hati
Merajuk.
Contoh: Tidak baik jauh hati dengan ibu kamu.


Jejak-jejak bara
Berkenaan barang yang bergantung / Hampir sampai ke tanah.
Contoh: Kain langsir yang baru dibeli oleh Cikgu Minah nampaknya hanya jejak-jejak bara kerana kain tidak cukup panjang.


Jejak langkah
Mencontohi perbuatan orang terdahulu.
Contoh: Dalam adat-istiadat meminang, cubalah kita ikut jejak langkah orang-orang dahulu agar perundingan berjalan dengan lancar.


Jinak-jinak lalat
Pergaulan yang tidak begitu mesra.
Contoh: Mereka masih lagi jinak-jinak lalat, maklumlah mereka baru sahaja berkenalan.


Jinak-jinak merpati
(Perempuan) nampak mesra tetapi sukar dipikat.
Contoh: Anak gadis Pak Akub itu bagai jinak-jinak merpati.



Jiwa besar
Bercita-cita tinggi dan akan dilaksanakan cita-citanya.
Contoh: Usaha pemimpin-pemimpin yang berjiwa besarlah, maka rakyat negara ini dapat menikmati kemerdekaan yang sejati.


Jiwa hamba
Tidak yakin kepada diri sendiri dan tidak bercita-cita tinggi.
Contoh: Jangan sekali-kali kita berjiwa hamba kerana kita dapat bersama-sama memajukan negara.


Jolok hati
Menguji hati seseorang.
Contoh: Mak Minah menjolok hati anak gadisnya kerana dia ingin tahu adakah anak gadisnya itu sudah mempunyai teman istimewa.


Jolok Mata
i. Sangat jelas kelihatan atau sangat nyata. ii. Memberi malu.
Contoh: i. Gadis-gadis sekarang suka memakai pakaian yang menjolok mata. ii. "Sudahlah makan minum kamu itu aku yang tanggung, kini kamu pula menjolok mata aku pada masyarakat di sini," kata Mak Yam.


Jual diri
Menjadi pelacur.
Contoh: Ramai wanita di negara jiran terpaksa menjual diri di negara ini kerana tekanan kemiskinan di negara mereka.


Jual mahal
Tidak mudah menerima atau menyetujui sesuatu.
Contoh: Dia sengaja bersikap jual mahal kerana dia tidak mahu membantu kita dalam masalah ini.


Jual minyak
Lelaki yang suka memikat perempuan.
Contoh: Jangan mudah percaya pada janji lelaki kerana sesetengah lelaki pandai jual minyak.


Jual murah
Mudah atau lekas menerima atau menyetujui sesuatu.
Contoh: Pak Hamid berasa menyesal kerana dia bersikap mudah jual murah semasa menjual tanah itu.


Kacang hantu
Seseorang yang jahat atau nakal.
Contoh: "Kalau ada budak kacang hantu itu, aku tidak dapat duduk senang dibuatnya," rungut Pak cik Noor.


Kaki ampu
Memuji dengan tidak ikhlas / puji dengan harapan mendapat pembalasan.
Contoh: Encik Adnan seorang kaki ampu itulah sebabnya dia cepat naik pangkat.


Kaki ayam
Tidak beralas kaki.
Contoh: Murid-murid sekolah sebelum merdeka pergi ke sekolah berkaki ayam.


Kaki bangku
Tidak tahu bermain bola.
Contoh: Orang yang kaki bangku layak duduk di tepi padang bola sebagai penonton sahaja.


Kaki bodek
Memuji dengan tidak ikhlas / puji dengan harapan dapat balasan.
Contoh: Orang kaki bodek sering ponteng kerja kerana dia pandai mengampu pegawai atasan.

Kaki botol
Orang yang gemar minum minuman keras / ketagih arak.
Contoh: Kaki botol itu ditahan oleh polis kerana dia memandu motokar dalam keadaan mabuk.


Kaki judi
Suka berjudi
Contoh: Setelah Pak Husin ditangkap oleh polis, barulah kami tahu dia rupa-rupanya kaki judi.


Kaki langit
Bahagian langit yang kelihatan seperti bercantum dengan bumi.
Contoh: Pada waktu senja, keadaan di kaki langit sungguh indah panoramanya.


Kaki lima
Lantai di hadapan bangunan atau kedai di tepi jalan yang dijadikan tempat orang lalu-lalang.
Contoh: Pihak berkuasa tempatan melarang penjaja-penjaja berniaga di kaki lima kerana menghalang laluan orang ramai.


Kambing hitam
Orang yang dipersalahkan dalam sesuatu kejadian.
Contoh: Encik Muthu tidak sanggup menjadi kambing hitam dalam kes bangunan runtuh sebelum siap baru-baru ini.


Kambing keramat
Orang yang ditakuti dan bebas melakukan mengikut kehendak hatinya.
Contoh: Semenjak menjadi pengurus besar dalam syarikat, dia dianggap sebagai kambing keramat kerana sering melakukan apa sahaja mengikut kehendak hatinya.


Karat hati
Menyimpan niat yang tidak baik.
Contoh: Walaupun dia nampak baik tetapi dia adalah karat hati.

 











Kata dua
Amaran terakhir yang mesti diikuti.
Contoh: Orang-orang along memberi kata dua, sama ada bayar atau mati kepada peminjamnya.


Kata hati
Bisikan hati / perasaan yang timbul di dalam hati.
Contoh: Kalau ikut kata hati saya, sekarang juga saya balik ke kampung halaman, tetapi apa boleh buat kerana masa belum mengizinkan lagi.


Kata putus
Keputusan sesuatu rundingan.
Contoh: Mesyuarat itu telah mengambil kata putus bahawa pertubuhan tersebut mesti membuka akaun di mana-mana bank yang teguh.


Kaya hati
Pemurah / dermawan.
Contoh: Kita berharap hartawan yang kaya akan mendermakan wang untuk mendirikan balai raya di daerah ini.


Kecil hati
Kecewa.
Contoh: Atas kesilapan ibu kamu yang sedikit itu, tidak patut kamu berkecil hati.


Kecut hati
Penakut.
Contoh: Kecut hati saya semasa terjumpa tapak harimau itu.


Kecut perut
Penakut.
Contoh: Apabila mendengar anjing menyalak sayu pada tengah malam, saya rasa seram dan kecut perut.


Kena tangan
Kena tempeleng.
Contoh: Pemuda yang cuba meragut beg Cik Zainab itu terus melarikan diri setelah kena tangan oleh orang ramai.


Kepala angin
Berperangai luar biasa / tidak menentu.
Contoh: Kami tidak begitu berani menegur Pak Hadi kerana dia kadang-kadang kepala angin.


Kepala batu
Bersikap degil.
Contoh: "Kamu semua kepala batu kerana tidak mendengar nasihat saya," kata Cikgu Juriah.


Kepala dingin
Tenang dan sabar.
Contoh: Lim Ah Chai adalah jenis kepala kerana dingin apa jua masalah dia menghadapinya dengan tenang sahaja.


Kepala udang
Bodoh / dungu.
Contoh: Walaupun dia berkepala udang, tetapi dengan kesungguhan dan tekun, akhirnya berjaya juga mendapat kecemerlangan dalam peperiksaan.


Kepiting batu
Kedekut / lokek.
Contoh: Orang kaya itu terkenal dengan gelaran kepiting batu kerana dia tidak suka menderma untuk kebajikan.


Keramat hidup
Orang yang berperangai mulia, yakni jujur dan ikhlas.
Contoh: Sungguhpun orang tua itu sudah lanjut usianya, namun dia dianggap keramat hidup kerana dia memiliki akhlak yang mulia.


Kerang busuk
Tersengih-sengih tidak menentu.
Contoh: Dia tersengih-sengih macam kerang busuk kerana berasa malu setelah kakinya terpijak tahi lembu.


Keras hati
i. Cekal / gigih / tidak mudah putus asa. ii. Degil.
Contoh: i. Robert berkeras hati mahu menyertai pertandingan mendaki gunung itu. ii. "Kamu jangan berkeras hati, nanti ayah kamu marah," nasihat Mak Eton kepada anaknya.


Keras hidung
Menurut sesuka hati.
Contoh: Jamilah membuat kerja mengikut keras hidungnya tetapi akhirnya dia terpaksa minta abangnya membantu.


Keras kepala
Degil.
Contoh: Mat Jusuh memang keras kepala kerana segala cakap bapanya langsung tidak dipedulikan.


Keras lidah
Susah hendak menyebut dengan baik.
Contoh: Kalau sudah keras lidah baru hendak belajar bahasa Arab, tentu sebutannya tidak betul lagi.


Keras mulut
Tidak mahu dan tidak mudah kalah dalam pertengkaran.
Contoh: Mereka berdua itu memang sama-sama keras mulut, masing-masing tidak mahu mengaku kesilapan mereka.


Keras tulang
Kuat bekerja
Contoh: Mat Nor memang keras tulang sebab itulah pendapatannya lebih sedikit.


Kera sumbang
Berasa serba salah apabila berada dikhalayak orang ramai.
Contoh: Johan kelihatan macam kera sumbang semasa berada di atas pentas itu.


Kering darah
Tersirap darah kerana terlalu terkejut.
Contoh: "Kering darah saya dibuatnya seekor ular yang hidup dicampakkan kepada saya," kata Jaliah.


Kering hati
Kejam / tiada belas kasihan
Contoh: Orang yang kering hati sahaja sanggup membunuh orang yang tidak berdosa.


Kerja tangan
Kraftangan / kerja-kerja seperti anyaman-menganyam, ukir-mengukir, sulam-menyulam dan sebagainya.
Contoh: Tudung saji itu adalah kerja tangan pelajar tingkatan lima sekolah ini.


Ketam batu
Pelokek / kedekut.
Contoh: Bukan Haji Bakri sahaja yang kedekut, Mak Yam pun jenis ketam batu juga.


Khabar angin
Khabar yang tidak boleh dijadikan panduan / pegangan / dijadikan bukti.
Contoh: Kamu jangan dengar khabar angin, nanti rosak rumah tangga kamu.


Kucing bertanduk
Perkara yang tidak mustahil berlaku.
Contoh: Kalau menunggu sampai kucing bertanduk pun, masa yang sudah berlalu itu tidak akan berulang lagi.


Kucing kurap
Orang yang dipandang hina.
Contoh: "Kalau tidak mempunyai harta dan pelajaran masyarakat akan memandang seperti kucing kurap terhadap kamu," kata ayahnya.


Kuku besi
Pemerintahan yang zalim / kejam.
Contoh: Pemerintah berkuku besi sudah digulingkan oleh rakyat.


Kurang adab
Tidak bersopan / tidak beradab.
Contoh: Jagalah tutur kata kamu dan jangan kurang adab semasa bercakap dengan orang tua.


Kurang ajar
Tidak bersopan / tidak beradab
Contoh: Anak yang kurang ajar tentulah akan memalukan muka kedua-dua orang tuanya.


Kutu embun
Merayau waktu malam dengan tanpa tujuan atau sebab-sebab yang munasabah.
Contoh: Pada pukul dua pagi masih kelihatan kutu embun merayau di jalan.


Kutu jalan
Suka duduk di tepi jalan tanpa tujuan.
Contoh: Ayah tidak mahu dengar lagi orang sebut kamu sebagai kutu jalan, Pak Mat marah kepada anaknya yang suka duduk di tepi jalan.


Lampu hijau
Dapat isyarat kebenaran.
Contoh: Encik Gang Guan Seng telah mendapat lampu hijau daripada ketua syarikatnya untuk membuka perniagaan baru.


Lancang mulut
i. Gemar mengeluarkan kata-kata yang menyakiti orang. ii. Gemar membuka rahsia orang lain.
Contoh: i. Rogayah lancang mulut sebab itulah orang tidak suka berkawan dengannya. ii. Orang yang lancang mulut menyebabkan ramai orang marah kepadanya.


Langkah baik
Permulaan yang baik.
Contoh: Satu langkah yang baik mesti diambil semoga urusan kerja tidak tergendala.


Langkah bendul
Adik perempuan kahwin dahulu daripada kakaknya.
Contoh: Adat orang Melayu, kalau adik mahu kahwin terlebih dahulu daripada kakak, bakal suami terpaksa membawa sedikit barang gantian sebagai bayaran langkah bendul.


Langkah kanan
Bernasib baik.
Contoh: Nampaknya kamu ini langkah kanan malam ini kerana dapat hadiah istimewa.


Langkah kiri
Tidak nasib baik
Contoh: Kamu memang langkah kiri apabila kamu tiba sahaja makanan itu habis dimakan orang.

 

SIMPULAN BAHASA

Abang angkat
Seseorang lelaki yang lebih tua daripada kita yang mempunyai pertalian darah dengannya tetapi telah sanggup sebagai anak oleh ibu bapanya.
Contoh: Pemuda itu menjadi anak angkat apabila dia tinggal bersama keluarga kami sejak lima tahun lalu.


Abang ipar
i. Suami kepada kakak.
Contoh: Abang ipar saya suka membantu kakak saya ketika memasak di dapur.


Abang kandung
Anak lelaki seibu sebapa yang lebih tua daripada kita.
Contoh: Salah seorang abang kandung saya berkhidmat sebagai tentera di Sarawak.


Abang tiri
i. Anak lelaki kepada bapa tiri. ii. Anak lelaki kepada ibu tiri.
Contoh: Abang tiri saya sering menasihati saya supaya belajar bersungguh-sungguh sehingga berjaya.


Abu Dajal
Orang yang suka menghalang atau mengacau orang lain membuat kebaikan atau kebajikan.
Contoh: Kami sering diganggu oleh budak-budak yang berperangai seperti Abu Dajal itu semasa kami membuat perbincangan bahasa di bilik darjah.


Abui mata
Orang yang pandai membuat tipu helah supaya orang lain tidak tahu perkara yang sebanarnya.
Contoh: Dua orang warga asing itu berpura-pura bersembahyang di masjid untuk mengabui mata pegawai-pegawai polis yang meronda untuk mengesan pendatang tanpa izin.


Abu Jahal
Orang yang suka mengacau orang lain yang membuat kebaikan.
Contoh: Kita jangan berkawan dengan budak itu kerana perangainya seperti Abu Jahal yang suka mengacau orang lain membuat kebaikan.


Abu Nawas
Orang yang bijak mencari jalan atau membuat muslihat atau helah untuk melepaskan diri daripada menerima malu dan hukuman.
Contoh: Budak itu tidak pernah mendapat hukuman kerana pandai mencari helah seperti Abu Nawas supaya terlepas daripada hukuman.


Acak lengan
Hendak bergaduh.
Contoh: Zahir dan Kamarudin berbahas dalam mesyuarat sehingga mereka mengacak lengan masing-masing.


Ada-ada saja
Menghadapi masalah yang tidak putus-putus atau selalu timbul perkara-perkara yang tidak menyenangkan.
Contoh: Mereka berdua tidak ada jodoh kerana ada-ada saja yang menghalang perkahwinan mereka.


Ada akal
Ada idea / ada buah fikiran.
Contoh: Kassim mula ada akal tentang cara untuk menyelesaikan masalah dalam projek sekolah yang terbengkalai itu.


Ada angin
Seseorang yang mempunyai perangai tidak seperti biasa pada sesuatu ketika atau perangainya selalu tidak menentu.
Contoh: Berhati-hati sedikit kalau berkawan dengan Jusuh kerana dia itu ada angin.


Ada bakat
Ada kebolehan dan keistimewaan dalam sesuatu bidang.
Contoh: Swee Lan ada bakat dalam bidang nyanyian kerana suaranya sungguh merdu.


Ada dalam hati
Dari awal-awal lagi sudah dijangka / sudah diduga.
Contoh: Kegiatan haram oleh pemuda itu sudah ada dalam hati Sarjan Hassan dan beliau akan menbuat siasatan lanjut.


Ada harapan
Berpeluang.
Contoh: Doktor menasihati Pak Ali agar selalu makan ubat dan rajin membuat latihan jasmani kerana penyakitnya ada harapan untuk sembuh.


Ada hati
Seseorang mempunyai kemahuan atau keinginan untuk mendapatkan sesuatu.
Contoh: Kamal hanya bekerja sebagai kerani sementara tetapi dia ada hati untuk berkahwin dengan anak hartawan itu.


Ada jalan
Ada cara untuk mendapatkan sesuatu atau menyelesaikan sesuatu masalah.
Contoh: Masih ada jalan untuk kita mengatasi masalah dadah di negara kita.


Ada lubang
Mempunyai peluang.
Contoh: "Ada lubangkah untuk saya menyertai pertandingan itu, sedangkan saya tidak menjadi anggota pasukan tersebut?" tanya Encik Rosli.


Ada otak
Ada fikiran.
Contoh: "Saya amat kagum akan kebolehan Amin kerana dia ada otak untuk menjawab soalan-soalan matematik yang sukar itu," kata Cikgu Salim.


Ada rezeki
Ada peluang untuk mendapat sesuatu hasil.
Contoh: "Kalau ada rezeki, saya akan pergi ke Mekah pada tahun hadapan untuk menunaikan fardu haji," kata Encik Zainal. 

Ada rupa
Mempunyai paras atau wajah yang cantik atau kacak.
Contoh: Gadis-gadis yang ada rupa sahaja layak menyertai pertandingan ratu kebaya peringkat kebangsaan.


Ada sengat
Seseorang yang disegani dan berpengaruh.
Contoh: Oleh sebab ada sengat, Haji Abdullah selalu dihormati dan disegani oleh penduduk kampung itu.


Ada taring
Ada kuasa.
Contoh: Semenjak menjadi pengarah, dia ada taring untuk membuat arahan mengikut kata hatinya.


Adat orang muda
Kebiasaan sikap dan gelagat atau kerenah golongan remaja dan belia.
Contoh: Memang sudah menjadi adat orang muda, suka mengelamun dan berkhayal!


Adik angkat
Seseorang yang lebih muda daripada orang yang tidak mempunyai pertalian darah tetapi telah dianggap sebagai anak oleh ibu bapanya.
Contoh: Walaupun Rusli hanya adik angkat kami, namun ibu bapa kami melayaninya seperti anak sendiri.


Adik ipar
Seseorang adik lelaki atau perempuan kepada suami atau isteri.
Contoh: Sekarang Kamaliah sudah menjadi adik ipar Cikgu Ramlan apabila Cikgu Ramlan berkahwin dengan kakaknya.


Adik kandung
Adik kepada ibu bapa yang sama.
Contoh: Walaupun cacat dan rupa parasnya buruk, dia tetap adik kandung saya.


Adik tiri
Anak tiri kepada ibu atau bapa kita dan umurnya lebih muda daripada kita.
Contoh: Walaupun Ramlah adik tiri saya, saya tetap kasih dan sayang akan dia seperti adik sendiri.


Adu buku
Hendak bergaduh atau cuba hendak menunjukkan kekuatan dan kehebatan terhadap musuh.
Contoh: Ali dan Busu tidak boleh berjumpa muka kerana mereka sering hendak beradu buku.


Adu domba
Perbuatan melaga-lagakan seseorang atau kumpulan dengan seseorang atau kumpulan yang lain supaya bergaduh atau bermusuh.
Contoh: Ada pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab hendak mengadu domba agar anggota-anggota persatuan itu berpecah belah.


Adu mata
Bertentangan mata antara satu dengan lain.
Contoh: Jali dan Jalil tidak boleh beradu mata sedikit pun kerana mereka sering sahaja hendak bergaduh.


Adu nasib
Cuba menceburkan diri ke dalam sesuatu bidang untuk memperoleh sesuatu keuntungan atau hasil.
Contoh: Pertandingan nyanyian itu berjaya menarik minat ramai peserta untuk mengadu nasib masing-masing.


Adu untung
Adu nasib.
Contoh: Pak Salleh berjaya menjadi orang kaya setelah tujuh tahun dia cuba mengadu untung di negeri orang.


Air mata
Tangisan kerana terlalu sedih, terharu, dan rindu atau penuh semangat.
Contoh: "Sekiranya kamu menangis hingga kering air mata sekalipun, kucing kamu yang mati itu tidak mungkin akan hidup kembali," kata Kak Leha.


Air mata buaya
Berpura-pura menangis kerana sesuatu muslihat atau helah.
Contoh: Air mata Salim itu hanyalah air mata buaya sahaja kerana dia berpura-pura sayang akan bapa tirinya itu.


Air mati
i. Air yang dijerang atau dididihkan telah menjadi sejuk. ii. Air laut atau sungai yang tidak berlaku pasang atau surut.
Contoh: i. "Murid-murid digalakkan minum air mati untuk mengelak daripada dijangkiti penyakit berjangkit," kata Cikgu Zaidi. ii. Pak cik Ali turun ke sungai untuk menjala ikan apabila air mati.


Air muka
i. Rupa atau wajah seseorang. i. Maruah diri atau harga diri seseorang.
Contoh: i. Air muka budak itu terus berubah apabila Cikgu Hamid membongkar perbuatan jahatnya. ii. Kita mesti menjaga air muka kita daripada dihina di khalayak ramai.


Air pasang
Paras air laut naik.
Contoh: Air pasang besar berlaku di laut apabila bulan purnama.


Air surut
Paras air turun.
Contoh: Apabila air surut di laut, ramai kaum nelayan turun ke pantai untuk mencari siput dan kepah.


Air tangan
Hasil masakan seseorang.
Contoh: Kasih sayang terhadap ibu semakin bertambah jikalau seseorang itu selalu makan air tangan ibunya.

Air tawar
Air yang dijampi oleh dukun atau orang lain untuk menjadi ubat atau penawar.
Contoh: Dengan keizinan Tuhan, air tawar dapat menyembuh pelbagai jenis penyakit.


Ajak-ajak ayam
Mempelawa atau menjemput dengan tidak bersungguh-sungguh dan hanya sekadar untuk mengambil hati.
Contoh: Dia ajak-ajak ayam saja untuk makan tengah hari di rumahnya ketika saya pergi menemuinya.


Ajaran sesat
Ajaran yang menyimpang daripada ajaran agama yang sebenar.
Contoh: Lebai Deraman dituduh telah mengajar ajaran sesat di sebuah masjid di negeri Selangor oleh Majlis Agama Islam Selangor.


Akal akar
Menurut perintah.
Contoh: Sebagai pekerja di sesebuah syarikat, kita hendaklah akal akar agar kita tidak dianggap sebagai perosak kepada syarikat.


Akal belut
Tipu helah yang licik.
Contoh: Pengedar dadah itu akhirnya dapat diberkas oleh pihak berkuasa, walaupun dia menggunakan akal belut sekalipun.


Akal budi
Fikiran yang bijaksana.
Contoh: Hakim sentiasa menggunakan akal budi apabila hendak menjatuhkan hukuman ke atas yang tertuduh.


Akal kancil
Mencari ikhtiar dengan bijaksana atau berfikir dengan tenang untuk menyelesaikan masalah.
Contoh: Walaupun dalam keadaan terdesak, Abu Nawas berjaya menggunakan akal kancilnya untuk melepaskan diri daripada dimurkai oleh raja.


Akal melintas
Tiba-tiba mendapat ilham atau idea.
Contoh: Dalam perbincangan yang hangat itu, saya mendapat akal melintas untuk menyelesaikan masalah yang dibincangkan itu.


Akal panjang
Fikir dengan teliti dan mendalam.
Contoh: "Cuba menggunakan akal panjang sebelum kamu keluar rumah ini, Jusuh," Pak Sudin memberi nasihat.


Akal pendek
Bodoh atau tidak mampu untuk berfikir secara mendalam.
Contoh: "Kita janganlah bertindak menggunakan akal pendek kerana hal ini boleh membahayakan diri kita sendiri," kata Lebai Osman.


Akal sejengkal
Fikiran yang cetek.
Contoh: "Kamu mempunyai akal sejengkal, oleh sebab itu saya fikir kamu tidak perlu masuk campur dalam hal ini," kata Kamil.


Akal singkat
Mengambil keputusan dengan tergesa-gesa atau terburu-buru tanpa berfikir panjang.
Contoh: "Oleh sebab menggunakan akal singkatlah, maka kamu berada di penjara ini," kata Salleh.


Akhir kata
Kesimpulan dalam sesuatu perbincangan, perbualan, syarahan atau ucapan.
Contoh: "Akhir kata, tindakan yang dilakukan oleh remaja itu bertentangan dengan peraturan agama," Encik Karim memberikan kesimpulan.


Ala kadar
Setakat mana yang termampu atau ada.
Contoh: Majlis perkahwinan kakak dibuat dengan ala kadar sahaja kerana ibu bapa kami kekurangan sumber kewangan dan tidak mahu dibebani hutang.


Alang kepalang
Terlalu atau tersangat sedikit.
Contoh: Oleh sebab perbelanjaan pengajian di seberang laut bukan alang kepalang tingginya, kerajaan mengeluarkan biasiswa untuk membantu para pelajar kita di sana.


Alas cakap
Sopan berbicara atau tutur kata atau bahasa yang digunakan dalam percakapan yang baik dan berhati-hati agar tidak menyinggung maruah dan perasaan orang lain.
Contoh: Semasa bercakap dalam sesuatu majlis, kita hendaklah menggunakan alas cakap agar tidak dianggap biadap.


Alas fikiran
Fikiran yang bernas.
Contoh: Orang cerdik pandai selalu menggunakan alas fikiran apabila mereka berbincang sesuatu hal.


Alas kaki
Memakai kasut, selipar, terompah, dan sebagainya.
Contoh: Kamu hendaklah menggunakan alas kaki jika hendak ke belakang rumah.


Alas kata
Sopan berbicara atau tutur kata atau bahasa dan berhati-hati atau halus.
Contoh: Pengerusi dalam pertandingan berbalas pantun selalu menggunakan alas kata yang lembut agar tidak menyentuh peribadi para penonton.


Alas kubur
Orang yang terpaksa bertanggungjawab atas kesalahan orang lain.
Contoh: Jamal dijadikan alas kubur atas perbuatan jenayah yang dilakukan oleh kawan karibnya.

Alas perut
Makan sedikit untuk menahan lapar sebelum mendapat makanan yang mengenyangkan.
Contoh: Kumari mengambil alas perut semasa rehat di sekolah.


Ali Baba
Lesen dan hak perniagaan yang dimiliki diberi kepada orang lain untuk menguruskan sesuatu perniagaan atau projek kerana tidak mahu bersusah payah.
Contoh: Pemegang lesen perniagaan itu telah mengamalkan perniagaan Ali Baba kerana dia mahu mengaut keuntungan yang cepat tanpa berusaha.


Alih angin
Ubah / pindah perniagaan / tempat kediaman / tempat belajar kepada tempat yang baru atau bertukar kepada bidang atau lapangan lain.
Contoh: Encik Lim cuba mengalih angin perniagaan ke Australia dengan harapan mendapat kejayaan.


Alih langkah
Mengubah strategi atau taktik yang lain.
Contoh: Golongan belia kita sekarang harus mengalih langkah baru dalam hidup agar mereka tidak ketinggalan.


Alih muka
Mengelak daripada dikenali.
Contoh: Orang yang dikehendaki polis itu mengalih muka supaya tidak dapat dikesan.


Alim kucing
Berpura-pura baik dan boleh dipercayai tetapi dalam masa yang sama sentiasa menunggu peluang untuk bertindak.
Contoh: Jangan percaya akan orang bersikap alim kucing agar kita tidak terpedaya dengan tipu muslihatnya.


Ambil ada
Sudah memadai apa yang ada atau sekadar memenuhi syarat.
Contoh: Dia membuat latihan itu sekadar ambil ada sahaja untuk mengelak daripada didenda oleh gurunya.


Ambil alih
Menggantikan tugas atau jawatan orang atau pihak lain untuk menguruskan sesuatu.
Contoh: Semasa Guru Besar bercuti, Encik Shamsul selaku Penolong Kanan Pentadbiran telah mengambil alih tugas Guru Besar itu.


Ambil anak
Ambil anak orang lain untuk dijadikan anak sendiri.
Contoh: Oleh sebab isteri Encik Mahadevan mandul, dia berhasrat mengambil anak untuk dijadikan anaknya.


Ambil angin
Menghirup hawa yang baik / segar atau berjalan-jalan untuk bersiar-siar sambil melegakan fikiran dan perasaan.
Contoh: Haji Aziz membawa keluarganya mengambil angin di Eropah selepas penat bertugas.


Ambil bahagian
Turut serta / melibatkan diri.
Contoh: Mereka berdua mengambil bahagian dalam peraduan Malam Getaran Jiwa anjuran RTM.


Ambil berat
Prihatin, mengambil perhatian / perhatian / tumpuan dalam sesuatu hal.
Contoh: Cikgu Raju mengambil berat terhadap pencapaian murid-muridnya.


Ambil berkat
Tumpang tuah atau berkat daripada pengaruh orang lain.
Contoh: Atas kegigihan dan kejayaan Haji Ali sebagai pemaju perumahan, adiknya ambil berkat beliau untuk membuka perusahaan kilang batu bata di kampungnya.


Ambil hati
Rasa tersinggung oleh kata-kata atau perbuatan seseorang terhadapnya.
Contoh: "Kamu jangan ambil hati atas kata-kata abang kamu tadi, dia memang berperangai begitu," ibu Kamil memberi nasihat.


Ambil kesempatan
Mengambil keuntungan atau mengambil manfaat atas peluang yang ada.
Contoh: Mak cik Halimah ambil kesempatan menjual kuih-muih di pasar malam untuk menambahkan pendapatan keluarganya.


Ambil kira
Membuat pertimbangan / perkiraan / penelitian / perhitungan.
Contoh: "Sebelum membuat keputusan, kamu hendaklah mengambil kira beberapa perkara yang ada di sekeliling kamu," kata Cikgu Yazid.


Ambil langkah
Hendak memulakan sesuatu perkara atau tindakan.
Contoh: Pihak Dewan Bahasa dan Pustaka mengambil langkah berhati-hati untuk mengawal pencemaran bahasa yang menular sekarang.


Ambil masa
Memerlukan tempoh yang sesuai.
Contoh: Untuk menyiapkan sesuatu projek yang diarah oleh guru, pelajar-pelajar tidak boleh menunggu masa yang lama.


Ambil mudah
Menganggap sesuatu perkara mudah / remeh / enteng / senang sahaja.
Contoh: Hafif selalu mengambil mudah sahaja dalam ujian di sekolah dan akhirnya dia menemui kegagalan.


Ambil muka
Membuat sesuatu dengan harapan untuk mendapat pujian.
Contoh: Dia menunjuk-nunjukkan hasil usahanya kepada orang ramai untuk mengambil muka daripada majikannya.

Ambil peluang
Mendapatkan faedah / keuntungan daripada sesuatu keadaan.
Contoh: Semasa berkursus di Pulau Langkawi, saya mengambil peluang mengunjungi Under Water World di sana.


Ambil pusing
Memberi perhatian / penelitian terhadap sesuatu / mengambil tahu.
Contoh: Encik Lim tidak ambil pusing sangat terhadap karenah pekerja-pekerjanya, asalkan mereka dapat bekerja dengan baik.


Ambil untung
Mendapat faedah / kepentingan/ memanfaatkan peluang yang ada.
Contoh: Haji Hassan tidak ambil untung lagi kerana beliau mahu barang-barang itu cepat habis dijual.


Anak angkat
Anak orang lain dipelihara sebagai anak sendiri.
Contoh: Puan Rosmawati mengambil anak jirannya untuk menjadi anak angkat kerana dia tidak mempunyai anak sendiri.


Anak asak
Anak patung / boneka.
Contoh: Puan Tan tidak dapat mencari anak asak kepunyaan anaknya yang hilang itu.


Anak baju
Baju kecil yang dipakai di dalam ; baju dalam, singlet atau baju panas.
Contoh: Anak baju yang dipakai oleh abang itu diperbuat daripada kain kapas.


Anak bangsawan
Dramatis, pelakon, atau orang berlakon di pentas atau di layar perak.
Contoh: Mak Enon ialah anak bangsawan yang termasyhur pada tahun-tahun 60-an.


Anak bapa
Anak yang disayangi oleh keluarga, khususnya oleh bapa / ayah.
Contoh: Perangai dan tingkah laku Sazali saling tidak tumpah macam ayahnya dan memang tepatlah jika dikatakan sebagai anak bapa kepada ayahnya.


Anak batu
Antan / alu lesung tumbuk.
Contoh: Kakak tidak dapat menumbuk sambal lada kerana anak batu tidak ada.


Anak bilis
Rakyat biasa, orang miskin atau berpangkat rendah atau golongan yang bertaraf rendah.
Contoh: Pihak berkuasa tidak akan bertolak ansur terhadap kegiatan penyeludupan di sempadan dan akan membuat tangkapan sama ada ikan bilis atau jerung.


Anak buah
Anak saudara-mara atau orang di bawah jagaan.
Contoh: Encik Lim Ah Chang sentiasa menjaga kebajikan anak buahnya.


Anak buangan
Anak yang dihalau oleh ibu bapa atau anak yang tersisih daripada keluarga.
Contoh: Remaja itu hidup melarat selepas dia menjadi anak buangan kerana dihalau oleh ibu bapanya.


Anak bulan
Bulan yang baru terbit setiap awal bulan.
Contoh: Anak bulan Ramadan telah kelihatan pada jam 7:05 malam tadi, maka umat Islam dikehendaki berpuasa esok.


Anak busur
Anak panah.
Contoh: Encik Ramalingam muncul juara dalam pertandingan memanah kerana anak busurnya dapat menepati sasaran.


Anak dacing
Batu timbangan.
Contoh: Haji Daud tidak dapat menggunakan dacing itu untuk menimbang gula kerana anak dacingnya telah hilang.


Anak dagang
Orang asing / orang merantau dan tinggal di tempat jauh dari kampung halaman.
Contoh: "Hamba anak dagang yang baru tiba di tempat ini," kata Damak.


Anak dara
Perempuan yang masih perawan atau gadis yang belum kahwin.
Contoh: Encik Mansur berhasrat masuk meminang anak dara Pak Ayub pada minggu hadapan.


Anak didik
Anak murid atau anak yang diasuh / dipimpin / diajar oleh seseorang.
Contoh: Ramai anak didik Mahaguru Silat Gayung itu telah berjaya melepasi ujian peringkat akhir.


Anak emas
Anak kesayangan ibu bapa atau pekerja yang disayangi oleh majikan.
Contoh: Encik Ahmad menjadi anak emas kepada Haji Dahlan kerana dia seorang pekerja yang setia dan rajin.


Anak gahara
Anak permaisuri raja dengan keturunan raja juga.
Contoh: Yang Teramat Mulia Tengku Zainal ialah anak gahara kepada Sultan Mahmud.

 

Anak gundik
Anak raja yang dilahirkan oleh isteri daripada orang kebanyakan.
Contoh: Tengku Ahmad itu anak gundik kepada raja yang memerintah negeri ini.


Anak haram
Anak yang dilahirkan tanpa perkahwinan yang sah.
Contoh: Kasihan anak haram itu kerana tiadalah diketahui siapakah ibu bapanya.


Anak jantan
Lelaki yang berani dan sanggup menghadapi cabaran.
Contoh: Laksamana Panglima Awang betul-betul anak jantan kerana dia begitu berani menentang lanun-lanun itu.


Anak jati
Penduduk tempatan yang asal / anak yang lahir di sesebuah tempat itu/ anak watan sesebuah negara / negeri.
Contoh: Anak jati sahaja dibenarkan dikebumikan di tanah perkuburan Datuk Bendahara.


Anak kandung
Anak sendiri daripada kedua ibu bapanya.
Contoh: Dalam hal itu, Encik Jaffar tidak memihak kepada sesiapa, walaupun anak kandungnya sendiri.


Anak kapal
Kelasi / pekerja atau awak-awak di dalam kapal.
Contoh: Kapal yang karam di Laut China Selatan itu tidak dapat diselamatkan, kecuali beberapa orang anak kapalnya sahaja.


Anak mata
Bulatan kecil di tengah-tengah mata / kelihatan.
Contoh: Khasidah tidak nampak anak mata pun sejak bapanya meninggal dunia.


Anak negeri
Penduduk sesebuah negeri.
Contoh: Menteri Besar memberitahu bahawa anak negeri akan diberi keutamaan untuk mendapat kemudahan yang akan disediakan oleh pihak kerajaan tidak lama lagi.


Anak panggung
Anak bangsawan / pelakon pentas / pelakon layar perak.
Contoh: Pelakon sekarang hendaklah mengambil iktibar daripada apa yang dialami oleh anak panggung zaman 50-an dahulu.


Buah bibir
Bahan perbualan.
Contoh: Kejayaan Datuk Azahar Mansur mengeliling dunia dengan kapal layar menjadi buah bibir rakyat Malaysia.


Buah butir
Perkara utama dalam percakapan atau bahan-bahan perbincangan.
Contoh: Masalah remaja telah menjadi buah butir dalam perbualan mereka.


Buah fikiran
Pendapat atau pandangan.
Contoh: Dalam hal ini, saya ingin meminta buah fikiran Dato' Hashim, moga-moga urusan ini dapat berjalan dengan lancar.


Buah hati
Orang yang disayangi atau kekasih.
Contoh: Azmi nampak begitu gelisah kerana buah hatinya tidak kunjung tiba.


Buah mata
Orang yang disayangi atau kekasih.
Contoh: Amira kelihatan ceria sahaja hari ini, maklumlah sudah mendapat buah mata yang segak!


Buah mulut
Bahan perbualan.
Contoh: Perbuatan sumbang yang dilakukan oleh pendatang-pendatang asing baru-baru ini menjadi buah mulut penduduk tempatan.


Buah pena
Hasil karya seseorang penulis.
Contoh: Buah pena sasterawan S. Othman Kelantan sungguh laris di pasaran dan diterjemahkan ke bahasa Jerman.


Buah tahun
Sesuatu yang jarang-jarang terdapat.
Contoh: Dugong yang ditangkap oleh seorang nelayan Johor pada tahun lepas merupakan buah tahun bagi penduduk Malaysia.


Buah tangan
i. Hasil pekerjaan / hasil usaha. ii. Barang yang dibawa dari perjalanan.
Contoh: i. Lukisan di sekolah itu adalah buah tangan Cikgu Aji yang pernah mengajar di sini dahulu. ii. Encik Karim membeli beberapa helai kain batik Indonesia sebagai buah tangan kepada anak-anaknya.


Buang air besar
Berak.
Contoh: Atan cepat-cepat pergi ke tandas kerana dia hendak buang air besar.


Buang air kecil
Kencing.
Contoh: Mak Piah geli hati sehingga terbuang air kecil kerana melihat telatah Mr. Bean di siaran televisyen.

Buang baka
Mencemarkan nama baik keluarga.
Contoh: "Ayah tidak mahu mendengar perbuatan yang tidak senonoh itu berlaku lagi dan inilah dikatakan membuang baka," kata Haji Hamid.


Buang belakang
Tidak peduli.
Contoh: "Jangan buang belakang kerana masalah ini harus diatasi," Mak Leha menasihati anaknya.


Buang diri
Menjauhkan diri daripada masyarakat.
Contoh: Setelah insaf atas perbuatan jahatnya, Budin membuang diri ke negeri orang.


Buang kerja
Dipecat daripada memegang jawatan pekerjaan.
Contoh: Dia dibuang kerja oleh pihak majikannya kerana didapati terlibat dengan najis dadah.


Buang masa
Membazirkan masa / mensia-siakan masa.
Contoh: Ramai remaja suka membuang masa di kaki lima dan melepak di pasar raya.


Buang mulut
Tidak berterus terang.
Contoh: Dia buang mulut semasa disoal oleh guru kerana ponteng sekolah.


Buat bodoh
Buat tidak faham atau buat pura-pura tidak tahu.
Contoh: Pak Kadir buat bodoh semasa mendengar penerangan tentang seni pertukangan, walaupun dia mahir dalam hal tersebut.


Buat duit
Membuat sesuatu untuk mendapat keuntungan yang banyak.
Contoh: Peniaga-peniaga pasar malam buat duit pada musim perayaan kerana jualan mereka laris.


Buat hal
Menimbulkan masalah / kesusahan.
Contoh: "Jangan buat hal kerana saya belum dapat memberikan keputusan," kata Tok Penghulu kepada beberapa anak pemuda itu.


Buat helah
Mencari jalan untuk melepaskan diri.
Contoh: Jamal buat helah sakit perut kerana dia tidak mahu berjumpa dengan pengurus .


Buaya darat
Lelaki yang suka menukar pasangan wanitanya.
Contoh: Kalau sudah dasar buaya darat, nampak sahaja perempuan yang cantik, dia terus hendak menerkam.


Budaya kuning
Gaya hidup atau adat resam dari Barat yang tidak sesuai dengan budaya hidup ketimuran.
Contoh: Ramai remaja kita terikut-ikut dengan budaya kuning dari Barat yang dianggap lebih baik dan sesuai dengan zaman.


Bujang lapuk
Lelaki yang belum kahwin sehingga lanjut usia.
Contoh: "Jikalau kamu tidak mencari jodoh sekarang, akibatnya kamu akan menjadi bujang lapuk," kata Pak Dolah kepada anak sulungnya.


Buka hati
Menerima segala-gala dengan perasaan terbuka.
Contoh: Jamilah membuka hati untuk menunjukkan kejujuran dan kesetiaan kepada kekasihnya.


Buka jalan
Beri peluang.
Contoh: Alimin membuka jalan kepada Abu untuk bersama-sama berniaga dengannya digerai itu.


Buka kesempatan
Memberi jalan kepada seseorang untuk melakukan sesuatu.
Contoh: Cikgu Lim membuka kesempatan kepada murid-muridnya untuk menyertai perkhemahan itu.


Buka langkah
Bermula untuk melakukan sesuatu tindakan.
Contoh: Encik Kasim sudah mula buka langkah dalam bidang perniagaan yang baru diceburinya.


Buka mata
Sedar daripada kelalaian atau kelemahan serta kelemahan yang ada.
Contoh: Setelah beberapa kali mengadakan kursus sivik kepada penduduk di kawasan itu, sekarang baru ada yang buka mata bahawa pendidikan sangat penting.


Buka mulut
Memberitahu atau bersuara terhadap sesuatu perkara.
Contoh: Pengganas komunis mengancam penduduk kampung supaya tidak membuka mulut kepada pihak berkuasa tentang kegiatan mereka di kampung itu.


Buka pintu
Memberi peluang atau kesempatan.
Contoh: Kerajaan buka pintu kepada para peniaga untuk berniaga di bangunan baru itu.

Buka suara
Memberi pendapat tentang sesuatu perkara.
Contoh: Pak Mamat turut buka suaranya dalam mesyuarat itu.


Buka telinga
Ambil perhatian / teliti.
Contoh: "Apabila guru mengajar, kamu hendaklah buka telinga betul-betul, dan jangan berkhayal tidak tentu arah," kata Cikgu Zaharah kepada murid-muridnya.


Buka Tembelang
Membuka rahsia atau keburukan diri.
Contoh: Jangan kamu membuka tembelang orang lain dikhalayak ramai, nanti dia mendapat malu!


Buku lima
Penumbuk.
Contoh: "Kalau kamu tidak mahu bayar hutang aku, aku bagi buku lima!" Rusdi memarahi Atan.


Bulan madu
Suami isteri yang pergi bercuti atau melancong ke tempat lain selepas berkahwin.
Contoh: Encik Ong akan berbulan madu dengan isterinya di Taiwan setelah majlis perkahwinan mereka selesai.


Bulat fikiran
Pendirian yang tetap atau mengambil keputusan yang muktamad.
Contoh: "Bulatkan fikiran sebelum kamu meletak jawatan itu," nasihat Encik Samad kepada pegawainya itu.


Bulat hati
Pendirian yang tetap atau mengambil keputusan yang muktamad.
Contoh: Ah Kaw bulat hati mahu memulakan perniagaan barunya di Kuala Lumpur.


Bulat kata
Mencapai kata sepakat dan bersatu.
Contoh: Keputusan itu adalah muktamad kerana mereka sudahpun mencapai bulat kata dalam perbincangan tersebut.


Bulat mata
i. Keadaan ketika hendak marah. ii. Keadaan terperanjat.
Contoh: i. Tok Mamat membulatkan mata kepada anak buahnya yang sangat degil itu. ii. Swee Lan bulat mata ketika terserempak dengan seekor musang.


Bulat suara
Maufakat atau mencapai persetujuan dan mendapat sokongan sepenuhnya.
Contoh: Perkara itu dipersetujui dengan sebulat suara dalam mesyuarat tersebut.


Bunga bahasa
Kata-kata dan ungkapan yang indah dalam pertuturan atau penulisan, khususnya dalam karya sastera.
Contoh: Dalam karya Sasterawan Negara Usman Awang banyak terdapat bunga bahasa yang sangat memikat hati.


Bunga bangsa
Anak-anak muda yang menjadi harapan bangsa dan negara pada masa hadapan.
Contoh: "Kamu semua ialah bunga bangsa, maka saya berharap kamu belajarlah bersungguh-sungguh, semoga wawasan negara akan menjadi kenyataan," kata Cikgu Yaman kepada murid-muridnya.


Bunga bibir
Mengeluarkan kata-kata yang manis.
Contoh: Kakak Norma selalu mengeluarkan bunga bibir apabila berbicara dengan saya.


Bunga dedap
Perempuan yang mempunyai rupa paras yang cantik tetapi tidak berbudi bahasa.
Contoh: Wanita yang menyewa di sebelah rumah saya itu diibaratkan bunga dedap sikap dan kelakuannya sungguh kasar.


Buruh kasar
Pekerja yang melakukan kerja-kerja yang berat tenaga fizikal.
Contoh: Negara kita memerlukan buruh kasar dari negara-negara asing untuk menyiapkan projek-projek besar negara.


Buruk hati
Jahat atau menyimpan perasaan dengki, benci dan dendam.
Contoh: Kalau kita sudah tahu bahawa dia seorang yang buruk hati, lebih baik kita jangan berkawan dengannya.


Buruk laku
Kelakuan dan perangai yang tidak baik dari pandangan orang.
Contoh: Dia seorang yang buruk laku dan menyebabkan ramai kawan tidak suka padanya.


Buruk makan
Makan dengan gelojoh / lahap.
Contoh: Mak Lijah terperanjat melihat bakal menantunya yang buruk makan itu.


Buruk mulut
Mengeluarkan kata-kata yang kasar.
Contoh: Setiap guru tidak harus buruk mulut terhadap murid-muridnya.


Buruk perut
Banyak makan semua jenis makanan dan berselera sekali.
Contoh: Walaupun buruk perut, dia tetap kuat bekerja.

Buruk sangka
Menaruh perasaan syak wasangka / curiga terhadap orang lain / prasangka buruk.
Contoh: Jangan amalkan sikap buruk sangka dalam persahabatan kerana boleh menyebabkan perpecahan sesama sendiri.


Buruk siku
Pemberian diminta semula / sikap mengukit kembali setiap pemberian.
Contoh: Nampaknya kamu sudah buruk siku sebab kerana sudah memberi sesuatu kepada orang, kemudian memintanya semula.


Buru waktu
Menjaga masa supaya tidak ketinggalan atau terlewat.
Contoh: Untuk menyiapkan projek ini, kita harus kejar masa, kalau tidak kita akan kerugian besar.


Busuk hati
Dengki atau sikap iri hati dan mempunyai niat yang jahat / seorang terhadap orang.
Contoh: Sifat buruk hati jirannya telah terdedah apabila dia cuba menggagalkan perniagaannya itu.


Busuk mulut
Suka memaki / mengeluarkan kata-kata tidak sopan / kesat.
Contoh: Orang yang busuk mulut tidak boleh dijadikan kawan kerana nanti kita akan mendapat malu.


Busung dada
Sombong / membangga diri.
Contoh: Dia baru sahaja dapat menjadi pegawai kerani di pejabat kerajaan tetapi sudah mula busung dada.


Buta akal
Melakukan sesuatu perkara tanpa berfikir terlebih dahulu.
Contoh: "Kalau hendak lakukan sesuatu perkara, jangan buta akal!" Mak Leha menasihati anak perempuannya.


Buta ayam
Penglihatan tidak jelas pada waktu senja dan malam.
Contoh: Malim tidak berani berjalan pada waktu malam kerana dia buta ayam.


Buta hati
i. Bersifat kejam / tidak berperikemanusiaan / tiada perasaan belas kasihan. ii.Tidak berpengetahuan.
Contoh: i. Penjenayah itu sungguh buta hati kerana sanggup merompak dan membunuh. ii. Pada zaman sekarang, orang yang buta hati amat susah kehidupannya.


Buta huruf
Tidak tahu membaca dan menulis.
Contoh: Kadar penduduk yang buta huruf di Malaysia kini sudah berkurangan.


Buta kayu
Tidak tahu membaca dan menulis.
Contoh: Walaupun Haji Noor buta kayu tetapi otaknya pintar dan dia berjaya menjadi seorang usahawan.


Buta perut
Buat sesuatu perkara dengan tanpa berfikir terlebih dahulu.
Contoh: Morgan terpaksa dimasukkan ke hospital kerana dipukul oleh bapanya yang buta perut dan tidak berperikemanusiaan itu.


Buta tuli
Membuat kerja tanpa tahu pedoman / tanpa usul periksa terlebih dahulu.
Contoh: Jalil membuat kerja dengan membuta tuli, tidak tahu hujung pangkalnya dan akhirnya menyusahkan diri sendiri.


Buta warna
Tidak dapat membezakan warna.
Contoh: Saya tidak boleh melukis lagi kerana sudah buta warna.


Cabar hati
Penakut.
Contoh: Bunyi buah kelapa jatuh pada tengah malam itu mencabar hati Sudin kerana disangkanya usikan hantu.


Cabut Lari
Penakut/ Sifat orang pengecut yang tidak sanggup menghadapi musuh atau cabaran.
Contoh: Budak-budak nakal itu cabut lari apabila disergah oleh Pak Hassan.


Cabut nyawa
Membunuh.
Contoh: "Jangan kamu bimbang kerana lanun itu tidak boleh cabut nyawa kita," Hang Tuah memberitahu Hang Jebat.


Cacing kepanasan
Dalam keadaan tidak tenteram / gelisah.
Contoh: Kasim kelihatan gelisah macam cacing kepanasan apabila pengerusi majlis menjemput beliau supaya berucap.


Cahaya mata
Mendapat anak sendiri / anak baru dilahirkan.
Contoh: Setelah berkahwin sudah hampir lima tahun, baharu sekarang Encik Leman mendapat cahaya mata.


Cahaya muka
Wajah seseorang yang kelihatan berseri.
Contoh: Perasaan gembira Cikgu Gopal memang kelihatan pada cahaya mukanya.

Cakap angin
Berita yang tidak berasas / berita tidak betul.
Contoh: Berita yang saudara dengar itu adalah cakap angin sahaja.


Cakap besar
Sikap yang suka membesar-besarkan diri sendiri.
Contoh: Ramai orang tidak suka berkawan dengan Budin kerana dia selalu cakap besar.


Cakap di belakang
Menceritakan keburukan orang lain ketika orang itu tiada.
Contoh: Jangan mudah percaya pada cakap di belakang, sebelum ada sebarang bukti.


Cakap kosong
Kata-kata yang tidak ada isi atau tidak berfaedah atau berkesan.
Contoh: Perbualan mereka di kedai kopi itu merupakan cakap kosong sahaja kerana sedikit pun tidak boleh dijadikan panduan.


Cakar ayam
Tulisan yang amat buruk.
Contoh: "Tulisan awak seperti cakar ayam sehingga menyusahkan orang lain hendak membacanya," kata Cikgu Ramlah.


Campur tangan
Melibatkan diri dalam urusan orang lain.
Contoh: "Jangan kamu cuba campur tangan dalam urusan keluarga saya," Kamal memberi amaran.


Cangkul angin
Membuat kerja yang tidak berfaedah.
Contoh: Perbuatan kamu itu memang sia-sia sahaja dan boleh dianggap seperti mencangkul angin.


Cari akal
Berikhtiar atau berfikir untuk mengatasi sesuatu masalah.
Contoh: Jangan putus asa untuk cari akal kerana masalah harus diatasi dengan baik.


Cari fasal
Berbuat sesuatu untuk menimbulkan pergaduhan atau kemarahan orang lain.
Contoh: Kamu jangan cari fasal di tempat ini kerana di sini bukan tempat untuk bergaduh.


Cari gaduh
Membuat sesuatu untuk menimbulkan pergaduhan.
Contoh: Jangan cari gaduh tentang perkara yang kecil kerana perkara ini boleh diselesaikan dengan cara berbincang.


Cari jalan
Berikhtiar untuk mengatasi sesuatu masalah.
Contoh: Jangan bertindak terburu-buru kerana kita boleh cuba cari jalan lain untuk mengatasinya.


Cari makan
Kerja untuk mendapatkan rezeki.
Contoh: "Bagaimanakah kamu hendak cari makan, kalau kamu malas bekerja?" Mak Limah memarahi anaknya.


Cekal hati
Tabah dan gigih dalam menghadapi cabaran.
Contoh: Datuk Azahar Mansur sungguh cekal hati sanggup mengelilingi dunia dengan pelayaran solo.


Celik huruf
Tahu membaca dan menulis.
Contoh: Malaysia mempunyai kadar celik huruf yang tinggi. Kesan daripada perkembangan pendidikan yang pesat.


Celik mata
Baru insaf dan sedar.
Contoh: Sekarang penduduk Seri Wangi baru celik mata bahawa harta benda yang ada diperut bumi kawasan itu sudah diangkut oleh pendatang asing.


Cemburu buta
Cemburu tanpa sebab.
Contoh: Isteri Encik Halim cemburu buta menyebabkan rumah tangga mereka tidak aman.


Cepat kaki
Pantas berjalan.
Contoh: Kamu ini sungguh cepat kaki, sekejap sahaja sudah tiba di tempat yang dituju.


Cepat tangan
Orang suka mencuri.
Contoh: Jangan biarkan dia masuk ke dalam bilik ini bersendirian kerana, dia itu cepat tangan.


Cermin muka
Melihat kepada diri sendiri sebelum membetulkan kesilapan orang.
Contoh: "Cerminlah muka kamu terlebih dahulu sebelum menegur kesilapan orang lain," kata Samad.


Cicak kubin
Badan seseorang yang tersangat kurus.
Contoh: Badan Pak Mamat itu kurus macam cicak kubin semenjak terkena penyakit kencing manis.


Cina buta
Perempuan yang ditalak tiga kali oleh suaminya dan kahwin lelaki lain dengan bersyarat cerai semula supaya dapat kahwin dengan bekas suami dahulu.
Contoh: Bidah itu bercina buta dengan Deraman kerana mahu kahwin semula dengan bekas suaminya.


Cinta monyet
Kasih sayang keanak-anakan yang selalu bertukar-tukar kekasih.
Contoh: Kebanyakan remaja kita menjalinkan cinta monyet dengan kekasihnya, kemudian berpisah kerana mereka belum mengerti cinta sebenarnya.


Cium tanah
Jatuh tertiarap ke tanah.
Contoh: Badan sahaja besar, kena penumbuk sulung sebiji, dia sudah cium tanah.


Colek hati
Menggelikan hati / menimbulkan rasa lucu.
Contoh: Kata-kata YB Encik Jamal itu mencolek hati orang ramai yang hadir di dewan tersebut.


Cuci mata
Melihat sesuatu yang cantik atau indah untuk menyeronokkan hati.
Contoh: Azman berehat di bawah sebatang pokok dalam taman itu sambil mencuci mata.


Cuci tangan
Sikap ingin lari dari bertanggungjawab dan tidak ingin terlibat.
Contoh: Baloo tidak bertanggungjawab atas kecuaiannya menyebabkan lembu-lembu itu masuk ke dalam pagar rumah orang.


Cuit hati
Geli hati atau menimbulkan perasaan lucu dan jenaka.
Contoh: Ustaz Muin menyelitkan kata-kata mencuit hati supaya orang tidak tertidur ketika mendengar ceramahnya.


Cukup bulan
i. Genap tempoh bagi perempuan yang mengandung untuk bersalin. ii. Waktu-waktu kebiasaan pekerja dibayar gaji.
Contoh: i. "Dekat-dekat cukup bulan nanti, kamu ambil cuti dan balik bersalin di Hospital Kota Bharu," pesan Mak Minah kepada Lisa. ii. "Saya tidak ada duit, maklumlah cukup bulan masih jauh lagi," kata Isma.


Cukup makan
Tidak lebih dan tidak kurang untuk markah atau pendapatan iaitu di peringkat pertengahan.
Contoh: Gaji yang diterima oleh Pak Seman hanya cukup makan sahaja.


Cukup umur
Sudah dewasa atau sudah mencapai baligh.
Contoh: Budak-budak yang belum cukup umur tidak dibenarkan menonton cerita-cerita yang berunsur ganas dan seks.


Curi hati
Memikat hati / menawan minat dan perasaan seseorang.
Contoh: Gadis yang baru berpindah ke kampung Ali itu sungguh cantik sehingga dapat mencuri hati pemuda-pemuda di situ.


Curi masa
Melakukan sesuatu tidak menepati waktu yang ditetapkan.
Contoh: "Awak selalu curi masa kerana tiap-tiap hari datang lewat," Encik Ismail memarahi salah seorang pekerjanya.


Curi tulang
Malas bekerja.
Contoh: Orang yang selalu mencuri tulang ketika bekerja sangat dibenci oleh majikan.


Dabik dada
Tepuk dada kerana keberanian / sikap ingin menunjuk-menunjukkan kehebatan dan kebolehan diri kepada orang lain.
Contoh: Hassan mendabik dada di hadapan orang ramai sambil berkata, "Siapa yang berani lawan saya, sila masuk, saya tunggu!"


Dada terbuka
Sedia mendengar atau menerima pendapat kritikan orang lain.
Contoh: Tok Penghulu mendengar pendapat Salleh dengan dada terbuka.


Dakap diri
Berdiam diri atau tidak berbuat apa-apa.
Contoh: "Lebih baik kamu pergi berkebun sayur daripada asyik dakap diri," ujar Pak Busu kepada Abu.


Daki dunia
Harta benda dan kemewahan yang dimiliki adalah bersifat sementara sahaja.
Contoh: Jangan asyik mengejar daki dunia sahaja sehingga tidak tidur malam, nanti kesihatan akan terganggu.


Dalam genggaman
Sudah pasti dapat atau berjaya diperoleh.
Contoh: Juara lumba lari 100 meter sudah tentu berada dalam genggaman Razak kerana dialah yang paling pantas berlari.


Dalam kepala
Dalam pengetahuan atau sudah ada dalam ingatan.
Contoh: "Senarai pemenang peraduan mengarang itu sudah ada dalam kepala saya," kata Cikgu Zahari.


Dalam tangan
Sudah pasti diperoleh atau sudah berjaya dicapai.
Contoh: Kejayaan sudah pasti dalam tangan kalau berusaha dengan gigih dan tekun belajar.

 

Dapat akal
Memperoleh idea atau timbul ikhtiar dalam fikiran.
Contoh: Bapa sudah dapat akal untuk memerangkap musang yang selalu datang mencari ayam.


Dapat hati
Menerima atau memperoleh cinta.
Contoh: Akhirnya Sudin mendapat hati daripada Haryati setelah sekian lama menunggu.


Dapat terpijak
Mendapat sesuatu yang berharga / rezeki dengan mudah / senang dan tidak melalui usaha.
Contoh: Pak Husin menganggap untung lumayan yang diperolehnya itu sebagai dapat terpijak kerana jualan duriannya begitu laris.


Darah daging
i. Ahli kelurga sendiri. ii. Biasa dilakukan dan sudah sebati dengan kehidupan seseorang
Contoh: i. Bagaimana buruk perangainya, dia tetap darah daging aku juga. ii. Perkara seumpama itu tidak menjadi masalah lagi kerana sudah menjadi darah dagingnya.


Darah gemuruh
Mudah gugup, hilang pertimbangan apabila berhadapan dengan cabaran dan situasi yang belum pernah dialami.
Contoh: Aminah terpaksa berdiam diri seketika untuk menahan darah gemuruhnya setelah mendengar berita buruk itu.


Darah manis
Mudah mendapat bahaya atau kecederaan.
Contoh: "Bakal pengantin adalah darah manis dan lebih baik jangan keluar rumah," Mak Som memberi nasihat.


Darah muda
Sikap, perasaan dan semangat yang berkobar-kobar, cepat marah atau bertindak.
Contoh: "Fikirlah baik-baik dan jangan mudah menurut darah muda," kata Pak Mustafa kepada Jusuh.


Darah panas
Cepat marah.
Contoh: Jangan melawan kata-kata Tok Mamat itu kerana dia mudah darah panas.


Darah putih
Keturunan orang bangsawan dan kerabat diraja.
Contoh: Orang yang berdarah putih tidak merasa peritnya hidup yang ditanggung oleh kaum petani dan nelayan.


Datang akal
Mendapat fikiran / timbul idea dalam fikiran.
Contoh: Manaf belum datang akal untuk menyelesaikan masalah itu.


Datang bulan
Masa haid bagi perempuan yang sudah mulai baligh.
Contoh: Perempuan yang datang bulan tidak boleh duduk di dalam masjid.


Datang hati
Tergamak melakukan atau bertindak tanpa membuat pertimbangan yang wajar dan kasihan belas.
Contoh: Datang hati dia mencuri harta bapanya sendiri.


Diam-diam ubi
Orang diam tetapi banyak ilmu pengetahuan.
Contoh: Ustaz ini seorang yang diam-diam ubi sahaja.


Diam membatu
Tidak berkata apa-apa atau membisu.
Contoh: Jenab diam membatu apabila diberitahu bahawa suaminya telah ditangkap oleh polis.


Dingin hati
i. Tidak berminat. ii.Tidak riang.
Contoh: i. Encik Yusoff dingin hati terhadap gadis pilihan ibunya. ii. Semenjak kehilangan isterinya, dia kelihatan dingin hati sepanjang masa.


Dingin kepala
Berfikiran tenang, tidak terburu-buru.
Contoh: Haji Ahmad dingin kepala kerana cuba mencari jalan terbaik untuk mengatasi masalah itu.


Dingin tangan
Selalu berhasil dalam melakukan sesuatu.
Contoh: Sejak akhir-akhir ini, Pak Utih dingin tangan sahaja sehingga rezekinya melimpah ruah.


Dua hati
Rasa bimbang dan waswas atau ragu-ragu.
Contoh: Rosli berasa dua hati terhadap kejujuran kekasihnya.


Dua sejoli
Sepasang kekasih yang sangat rapat dan selalu kelihatan berdua-duan.
Contoh: Dora dan Rahim bagaikan merpati dua sejoli kerana mereka tidak pernah berenggang dalam aktiviti kolej mereka.


Duit kocek
Peruntukan wang khusus dibawa ke mana-mana untuk kegunaan jika diperlukan.
Contoh: Encik Amin memberi duit kocek sebanyak RM50.00 kepada anaknya yang mengikuti rombongan sekolah membuat lawatan ke Kuala Lumpur.

Duit kopi
Wang yang diberikan kepada seseorang dalam usaha untuk mendapatkan sesuatu atau sogokan suatu bentuk rasuah.
Contoh: Pemuda yang cuba memberi duit kopi kepada pegawai kastam itu telah ditahan oleh pegawai pencegah rasuah.


Duit teh
Memberi wang kepada seseorang dengan tujuan mendapatkan sesuatu.
Contoh: Perbuatan menerima duit teh bukanlah suatu amalan yang baik.


Dunia sudah terbalik
Keadaan sudah berubah daripada yang asal atau adat biasa.
Contoh: Nampaknya dunia sudah terbalik kerana kerana terdapat ibu bapa yang sudah takut untuk menegur anak-anaknya.


Durian runtuh
Mendapat rezeki dan harta dengan tidak disangka-sangka.
Contoh: Pak Majid dapat durian runtuh kerana tanahnya akan dibayar oleh kerajaan dengan harga yang tinggi.


Emak angkat
Wanita yang dianggap sebagai ibu / emak sendiri.
Contoh: Saya mempunyai seorang emak angkat yang tinggal di Kota Tinggi.


Emak bidan
Gelaran kepada wanita yang menjalankan tugas perbidanan.
Contoh: Hajah Fatimah adalah seorang emak (mak) bidan yang sungguh baik dan berbudi bahasa orangnya.


Emak tiri
Perempuan yang menjadi isteri kepada bapa.
Contoh: Walaupun dia seorang emak tiri tetapi dia melayan saya sebagai anak kandungnya sendiri.


Enak hati
Gembira / senang hati.
Contoh: Pak Yahya berasa enak hati kerana dia sudah dapat memancing sepuluh ekor ikan.


Enau di hutan
Seseorang yang suka hidup bersendirian.
Contoh: Hidup Khalid seperti enau di hutan kerana dia tidak suka bercampur dengan masyarakat.


Fasih lidah
Pandai berkata-kata atau lancar bercakap.
Contoh: Anak saya sudah fasih lidah, walaupun umurnya baru meningkat dua tahun.


Fikiran buntu
Tidak dapat berfikir untuk memperoleh idea.
Contoh: Fikiran buntu sudah tentu tidak dapat menyelesaikan masalah itu.


Fikiran kolot
Fikiran yang ketinggalan zaman.
Contoh: Fikiran kolot Pak Bedul itu tidak diterima dalam mesyuarat tersebut.


Fikiran panjang
i. Berfikir panjang. ii. Memikirkan sesuatu perkara semula.
Contoh: i. Selepas mendengar kata dua ayahnya itu, Ali berfikir panjang. ii. Jikalau kamu berfikiran panjang tentu kamu tidak akan berlaku sedemikian.


Fikiran sempit
Fikiran cetek / tidak mahu menerima perubahan dan perkembangan semasa.
Contoh: Kita susah hendak berbicara dengan orang yang berfikiran sempit.


Fikiran sihat
Fikiran waras atau dapat berfikir dengan baik.
Contoh: Orang yang berfikiran sihat sahaja boleh memberi pendapat yang bernas.


Fikiran suntuk
Tidak dapat berfikir dengan jelas.
Contoh: Keadaan berfikiran suntuk amat sukar hendak mendapat idea yang baik.


Fikiran tajam
Cepat memahami dan mudah pelajaran yang disampaikan.
Contoh: Orang yang berfikiran tajam sahaja yang boleh memberi hujah yang bernas di dalam perbahasan.


Fikiran terbuka
Sanggup mendengar pandangan orang lain atau mempertimbangkan sebarang cadangan dan kritikan serta sentiasa bersedia untuk berubah.
Contoh: Terimalah sesuatu nasihat dengan fikiran yang terbuka.


Fikir dua kali
i. Berfikir panjang sebelum bertindak. ii. Memikirkan sesuatu perkara semula.
Contoh: i. "Sebelum bertindak sesuatu kamu harus berfikir dua kali, kalau tidak kamu akan menyesal nanti," nasihat Lebai Samad kepada Salim ii. "Keputusan kamu itu aku harap kamu fikir dua kali," kata Pak Rauf kepada anaknya.


Gadai nyawa
Sanggup mati, sanggup berkorban, dan menghadapi risiko.
Contoh: Tok Janggut sanggup bergadai nyawa untuk menentang penjajah Inggeris.

 

Gaji buta
Menerima upah tetapi kerja atau tugas tidak dijalankan.
Contoh: Dia dianggap seseorang makan gaji buta kerana sentiasa di tempat kerja dan asyik berbual di kantin pejabatnya.


Gaji pokok
Gaji tidak termasuk elaun lain upah yang telah ditetapkan dalam tempoh tertentu tidak masuk elaun.
Contoh: Gaji pokok yang diperoleh dan ditambah dengan elaun lain yang diterima oleh Ah Meng agak lumayan juga.


Galang ganti
Pengganti diri atau memikul tanggungjawab atau mengambil tugas bagi pihak orang lain.
Contoh: "Awak jangan jadi galang ganti dalam hal ini kerana hal ini adalah antara saya dan dia sahaja," kata Sani.


Galang kepala
Taat setia.
Contoh: Hang Tuah sangup galang kepala untuk berbakti kepada Sultan Melaka.


Ganti rugi
Bayaran yang dikenakan ke atas kerugian disebabkan sesuatu musibah / kecelakaan.
Contoh: Encik Jamal menuntut ganti rugi atas kerosakan rumah kedai kerana dirempuh oleh lori.


Ganti tikar
Berkahwin dengan bekas adik ipar atau kakak ipar atau abang ipar selepas isteri atau suami meninggal dunia.
Contoh: Zahar ganti tikar kerana berkahwin dengan adik isterinya setelah isterinya meninggal dunia.


Gapil Mulut
Cerewet / suka berleter.
Contoh: "Jangan gapil mulut, nanti malu pada semua jiran kita," kata Encik Shamsudin kepada isterinya.


Gapil tangan
Suka mencampuri urusan orang lain.
Contoh: "Dia itu bukan cerewet sahaja, bahkan gapil tangan pula," kata Mak Cik Zaleha.


Gatal mulut
Suka menceritakan keburukan orang lain.
Contoh: Jangan ceritakan apa-apa kepada Mak Cik Bedah kerana dia memang gatal mulut.


Gatal tangan
Gemar melakukan perkara yang tidak sepatutnya.
Contoh: "Mengapakah kamu gatal tangan sangat pada perkara yang tidak patut dilakukan," tanya Cikgu Yazid.


Gelak sumbing
Ketawa yang dibuat-buat.
Contoh: Orang lain ketawa kerana geli hati tetapi Jalal gelak sumbing kerana mahu ambil hati kawannya.


Gelap fikiran
Tidak dapat berfikir (sehingga mengamuk) disebabkan terlalu marah.
Contoh: "Jangan mudah gelap fikiran kerana buruk akibatnya nanti," Rajoo menasihati kawannya.


Gelap hati
Susah mengingat apa yang dipelajari.
Contoh: Berdoalah terlebih dahulu sebelum mengulang kaji pelajaran agar tidak gelap hati.


Gelap mata
i. Tidak dapat berfikir dengan waras kerana marah. ii. Lupa diri apabila diberi rasuah.
Contoh: i. Oleh sebab gelap mata, Pak Atam terus menempeleng muka anaknya. ii. Jangan mudah gelap mata apabila disogokkan dengan wang.


Gelegar buluh
Bercakap besar tetapi tidak mempunyai apa-apa makna.
Contoh: Jangan bercakap macam gelegar buluh nanti semua orang benci.


Geli hati
Rasa hendak ketawa.
Contoh: Geli hati saya menonton Jamali Sadat berjenaka di pentas baru-baru ini.


Gendang deras
Bertindak mengikut nafsu.
Contoh: Jusuh bersikap seperti gendang deras menyebabkan dia meringkuk di dalam penjara.


Gigit bibir
Berasa marah.
Contoh: Apabila melihat Pak Mat mengigit bibir, Jumat pun terus cabut lari kerana bimbang Pak Mat akan memukulnya.


Gigit jari
Berasa kecewa / hampa atau gagal mencapai sesuatu yang diusahakan atau dihajati.
Contoh: Jalil mengigit jari kerana anak dara Pak Haji Wahab akan berkahwin tidak lama lagi.


Gigit lidah
i. Tidak malu. ii.Tidak menghirau kecaman orang.
Contoh: i. Siva menggigit lidah atas perbuatan yang tidak senonoh itu. ii. Walaupun Samad berkaki tempang, namun dia tetap menggigit lidah, asalkan dia boleh menyertai pertandingan lumba lari itu.

Gila bahasa
Fikiran tidak sihat sedikit (cepat marah, berani, malu).
Contoh: Kadang-kala kami berasa geli hati dengan telatah Akil yang gila bahasa itu.


Gila bayang
Mencintai seseorang secara senyap-senyap tanpa diluahkan kepada orang berkenaan.
Contoh: Jamil sudah terkena penyakit gila bayang terhadap anak gadis jirannya.


Gila judi
Suka berjudi.
Contoh: Pemuda gila judi itu sudah ditahan oleh polis.


Gila talak
Keinginan untuk rujuk kembali selepas bercerai.
Contoh: Ajang sudah gila talak selepas bercerai dengan isterinya.


Golok gadai ( bergadai golok)
Sanggup berbelanja berhabis-habisan.
Contoh: Encik Yusof sanggup bergolok-bergadai demi kemajuan pelajaran anak-anaknya.


Goyang kaki
Bersenang-lenang tanpa membuat sebarang pekerjaan.
Contoh: Sekarang dia sudah boleh bergoyang kaki semenjak projek tanaman kelapa sawitnya sudah berhasil.


Gugur hati
Jatuh cinta.
Contoh: Faruk gugur hati terhadap rakan perempuan sepejabatnya itu.


Gulung lengan baju
Bersedia untuk melakukan sesuatu kerja.
Contoh: Kita harus sanggup gulung lengan baju demi kemajuan kampung kita.


Gulung tikar
Menutup perniagaan kerana mengalami kerugian.
Contoh: Syarikat perniagaan itu sudah gulung tikar kerana menanggung hutang yang banyak.


Gunting dalam lipatan
Sikap orang yang sanggup atau mengkhianati dan merosakkan sahabat atau ahli-ahli kumpulan atau negara sendiri.
Contoh: Kamaruddin itu nampak sahaja kawan baik tetapi sebenarnya dialah gunting dalam lipatan.